+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, July 26, 2010

Mimpi Kita Tidak Serupa

Dengarkanlah..
Ku lafaz cuma sekali..
Tak ingin ku ulangi..
Kata-kata luka menikam.

Dengarkanlah..
Ku lepaskan dikau pergi,
Kerana mimpi tidak lagi serupa,
Aku ke selatan kau ke utara.

Dengarkanlah..
Aku tak sanggup kecewa lagi..
Dalam angan yang tiada kesudahan.
Kelak merana cumalah aku.

Dengarkanlah..
Dulu aku pernah bermimpi..
Kita bersama menuju puncak..
Seiring langkah dan rentak.

Dengarkanlah..
Mimpi itu sudah tiada..
Anganku pecah berkecai..
Tidak mungkin bercantum semula.

Dengarkanlah..
Kau telah aku lepaskan..
Pergilah jauh dari anganku..
Jangan engkau kembali lagi.

Dengarkanlah..
Cukup di sini mimpi kita..
Teruskanlah kau dengan caramu..
Dan aku dengan hidupku.

Kerana mimpi kita tidak serupa.
Aku dengan caraku dan engkau dengan caramu.
Mana mungkin kita bersatu mengayam cita.
Kerana aku dan engkau ternyata berbeza.

Dengarkanlah..
Luahanku yang sedang kecewa..
Kerana engkau yang menghancurkan..
Impian indah yang pernah aku bina.




Yang Pertama Tidak Selalunya Yang Terindah

Yang pertama...

Bismillahirrahmanirrahim.. Alhamdulillah, biiznillah.. Semalam Tuhan telah izinkan kami sekeluarga berziarah ke rumah abang sulung kami (sama ayah lain emak) di Nilai, Negeri Sembilan. Jarak perjalanan dari Shah Alam ke Nilai lebih kurang 1 jam, dengan pecutan kereta yang puratanya 150km/h, alhamdulillah kami selamat pergi dan selamat pulang.

Kami selamat tiba di Kg. Melayu Subang kira-kira jam 9.30 malam. Hujan yang agak lebat dan emak pula kepenatan, akhirnya saya terpaksa menolak pelawaan teman sekerja untuk ikut serta menyaksikan perlawanan persahabatan futsal. Kita hanya merancang, selebihnya, Tuhan yang menentukan segalanya.

Selesai khidmat kendiri, saya bersiap-siap untuk tidur. Asyraf yang terkenal dengan sikapnya yang suka menjaga penampilan diri, terutamanya giginya menunjukkan gigi susunya yang sedang menanti masa untuk tercabut.

Saya cuma melihat, akhirnya gigi Asyraf dicabut oleh emak saya. Itu pertama kali giginya dicabut. Mulanya dia gembira kerana berjaya mencabut giginya namun setelah beberapa detik, darah mengalir dari tempat gigi yang tercabut, tiba-tiba dia menangis. Dia memang begitu. Trauma dengan darah barangkali, pantang melihat darah, yang tak sakit pun boleh jadi sakit.

Setelah berkumur dengan air sejuk, darah berhenti mengalir kemudian saya terus mengajak dia masuk tidur. Saya memujuknya, jangan menangis, nanti makin sakit, nanti darah makin banyak. Baik tidur cepat-cepat, kalau cepat tidur nanti gigi cepat baik. Beberapa minit kemudiannya, dia tertidur. Itu pengalaman pertamanya, mencabut gigi susunya.

Setiap dari kita, tentunya ada banyak pengalaman yang pertama. Pertama kali ke sekolah. Pertama kali ke dusun buah-buahan. Pertama kali jatuh cinta. Pertama kali dilukai. Pertama kali bernikah. Pertama kali kehilangan orang tersayang. Dan macam-macam lagi 'yang pertama'.

Kata orang, tanpa yang pertama, mustahil ada yang terakhir. Tanpa langkah pertama, mustahil ada langkah yang ke seribu. Tanpa yang pertama, mustahil ada yang kedua.

Kata orang lagi, yang pertama selalunya yang terindah. Yang pertama selalunya paling kemas dalam ingatan. Yang pertama selalunya sangat sukar untuk dilupakan.

Kata orang lagi, luka yang pertama adalah luka yang paling dalam dan paling sukar untuk disembuhkan, walaupun tidak berdarah, namun pedihnya menusuk kalbu menikam jiwa dan sabubari.

Hebatnya penangan pertama. Ada orang sanggup berkorban apa saja demi memastikan 'yang pertama' sentiasa kekal dalam genggamannya. Ada orang sanggup mengharungi lautan api demi pertahankan yang pertama. Sungguh, yang pertama selalunya mempunyai kuasa yang sangat luar biasa.

Persoalannya. Mengapa? Apakah keistimewaan dan keajaiban yang ada pada 'yang pertama'?

Adakah kerana kemampuan otak kita yang terbatas? Cuma mampu menyimpan kemas memori untuk kali pertama sahaja? Kemudian seterusnya adalah caca merba? Atau kerana kita terlalu menyayangi memori yang kita cipta, menyimpannya kukuh dalam ingatan dan enggan menerima memori yang baru? Atau kenapa?

Misteri yang hanya mereka yang berkenaan, dan Allah sahaja yang tahu..

Mencipta kenangan terindah sememangnya sukar namun untuk mengekalkan keindahannya ternyata jauh lebih sukar. Oleh itu, kita sering memandang kebelakang, mencari yang pertama sehingga kerap mengenepikan yang lain-lain walaupun berkemungkinan, yang kedua atau ketiga jauh lebih baik dari yang pertama.

Mencari pelangi pertama yang pernah kita tatap, kononnya itulah pelangi paling indah yang pernah kita nikmati tanpa mempedulikan pelangi-pelangi lain yang jauh lebih menawan. Hanya kerana ia adalah yang pertama.

Indah dan bahagia menjadi yang pertama, namun suratan Ilahi tidak selalunya menjanjikan kebahagiaan buat kita. Di dunia ini kita adalah pengembara, yang berjalan merentasi masa. Bermulanya kita seorang bayi, kemudian mendekati mati yang kita sendiri tidak tahu di mana garis akhirnya. Dalam hidup ini, ada suka dan duka. Ada pahit dan manis. Firman Allah, di sebalik kesusahan ada kesenangan. Oleh itu, bersyukur dan hargailah apa yang kita miliki hari ini.

Mungkin 'yang pertama' pernah kita kecapi tidak semanis madu, namun bersyukurlah kerana ramai lagi insan lain yang mengharungi 'yang pertama' dengan air mata dan darah. Andai yang pertama kita indah, berwarna-warni ibarat pelangi, maka bersyukurlah dan hargailah setiap dari anugerah pemberian-Nya, kerana kita tidak tahu, apa yang menanti kita pada esok hari.

Yang pertama tidak semestinya yang terindah, namun, apa yang ada dalam genggaman kita hari ini adalah anugerah dan pemberian dari-Nya, maka, hargailah dengan sebaik yang mungkin, kerana esok, belum tentu lagi ia menjadi milik kita...


Dengan lafaz bismillah. Moga Allah kurniakan yang terbaik buat kita, bukan hanya untuk di dunia, tapi juga di akhirat, insyaAllah.

Wallahua'alam.



Friday, July 23, 2010

Maaf, Aku Buat Lagi~!!

"Aku minta maaf.." Bersungguh-sungguh dia mengulangi kata-kata itu. Tidak mampu aku kira jumlahnya namun aku sama seperti tadi. Diam.

"Tolonglah, maafkan aku. Aku tahu aku salah, tapi kau juga harus tahu kenapa aku begitu. Bukankah kau dan aku adalah satu? Seharusnya kita sentiasa bersatu. Maafkanlah aku. Aku mohon." Dia tetap tidak mahu berputus asa. Genggaman jari jemarinya kian erat bersimpul.

Aku diruntun rasa hiba, kasihan, lalu aku menolehkan pandanganku menatap wajahnya. Menunjukkan sedikit perhatian. Pipinya basah disirami air mata. Hidungnya kemerahan, matanya bengkak. Hatiku dihinggapi rasa sayu.

"Selain meminta maaf dan menangis, apa lagi yang kau tahu?" Tidak sengaja, namun kata-kata itu yang pertama terluncur dari bibirku. Terlajak perahu bisa diundur, terlajak kata, ah. Aku kian menambah luka dan duka di hatinya. 'Maafkan aku..' di dalam hati aku berbisik.

Dia terkedu. Barangkali tidak menjangkakan kata-kata yang sekejam itu. Genggamannya dilepaskan perlahan-lahan. Aku tahu dia benar-benar terluka.

"Kau tidak perlu sekejam itu, aku tahu silapku di mana dan kau jangan lupa, silapku juga khilafmu.." Lesu suaranya menuturkan kata-kata itu. Benar-benar berjauh hati. Aku mengunci bibir menatap wajahnya.

"Tapi kau telah memalukan aku. Dengan airmatamu itu kau telah jatuhkan maruah aku. Aku malu. Bagaimana kelak aku akan berhadapan dengan dia? Setelah apa yang telah kau lakukan!"

Akhirnya aku meluahkan rasa yang terpendam di dada. Biar terluah agar tidak bengkak dan menanah.

Airmatanya yang tidak sempat kering kini mengalir lagi. Aku tahu dia juga kesal dengan kekhilafannya sendiri.

"Maafkan aku, aku ulangi lagi. Aku tidak mampu, aku tidak berdaya melawan rasa. Aku tewas. Aku lemah. Aku benar-benar perlukan seseorang untuk mendengar luahan hatiku. Maafkan aku."

"Mudahnya kamu meminta maaf. Apa pernah kau terfikir apa kesannya untuk masa depan kamu? Masa depan aku? Masa depan kita?" Aku mempersoalkan tindakannya. Belum berpuas hati dengan jawapannya.

"Aku juga tidak mahu jadi begitu, bukan kehendakku jua. I am just hopeless.." Dia menundukkan pandangannya. Barangkali malu mengangkat wajahnya menatap aku.

"Kerana sikapmu itu, aku malu berhadapan dengan dia esok.. Pernahkah kamu terfikirkan semua ini? Sebelum kamu melulu menangis di hadapan dia?" Aku menyerang lagi. Bertalu-talu.

"Aku anggap dia sebagai saudaraku sendiri. Aku dapat rasa bahawa dia juga menganggap aku seperti adiknya sendiri. Aku juga perlukan bahu untuk menangis. Dan aku tahu dia yang paling layak. Kamu mungkin melihat aku tabah, tapi hakikatnya aku cuma seorang wanita. Yang rapuh hatinya. Dan mudah pecah. Kau pun tahu keadaan emosiku sekarang bagaimana. Sungguh aku benar-benar tak berdaya.." Dia cuba pertahankan dirinya.

"Kau terlalu mudah membuat andaian. Kau belum kenal dia siapa dan dia juga belum tahu kau siapa. Jangan kelak kau dibenci kerana air matamu. Jangan kelak kau dipandang rendah kerana air matamu. Jangan nanti kau tidak dihormati kerana kelemahanmu itu. Kenapa mudah-mudah kau pertontonkan kekurangannmu itu? Aku malu..."

"Kau sel-fish, pentingkan diri sendiri, kau hitung malumu, dan tergamak kau lupa duka dan perit hati aku? Maaf, aku kecewa denganmu..." Belum sempat aku menghabiskan kata-kata, dia bersuara terlebih dahulu.

"Salahku aku minta maaf, tapi tidakkah sedikit pun kau tidak simpati dengan aku? Betapa hancur pecahnya hati aku? Tidakkah kau pedulikan aku?" Dia menyambung lagi..



Kenapa Sukar Mencontohi Baginda?

Allah berfirman di dalam Surah An-Nahl:

Bismillahirrahmanirrahim...

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [125]

Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. [126]

Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. [127]

Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. [128]

Selawat dan salam buat Nabi junjungan. Terimalah kami sebagai ummatmu, berikanlah kami syafaatmu.

Duhai Tuhan. Ampunkanlah dosa-dosa kami. Berikanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat. Amin ya rabb.

Thursday, July 22, 2010

Berhujah Berdasarkan Apa?

Salam wbt..

Kebelakangan ini, isu pengharaman ESQ sedang hangat diperkatakan. Pening juga saya dengan sikap orang kita yang.. entahlah, sukar untuk digambarkan.

Apapun, kadang2 saya rasa 'kelakar' juga dengan sikap sesetengah dari mereka yang begitu cepat 'melatah', terlompat2 sedangkan diri sendiri pun tidak lah arif, bukan lah tahu sangat tentang ESQ, sekadar membaca dari situ dan sini saja, yang lebih cuma andaian dan pandangan peribadi, kemudian membuat 'judgement' dan 'kesimpulan'.. for me, it's not fair.

Bila dibangkitkan isu ESQ ini, saya teringat isu yoga. sebab2 kenapa yoga diharamkan, dan ada 'perselisihan' juga di situ. mungkin isu ESQ tidak sepenuhnya sama dengan yoga, namun sepatutnya kita belajar dari 'sejarah'.

Mungkin anda akan 'mengecam' saya, kerana saya salah seorang drp alumni ESQ dan biar apapun kata mereka tentang ESQ, saya tetap lagi teguh dengan pendirian saya, alhamdullillah hingga ke saat ini, walaupun telah beberapa kali hadir 'training' dan 'recharge', ESQ masih belum berjaya menyesatkan saya. saya berkata mewakili diri saya sendiri, alumni lain saya tidak tahu.

Sepanjang mengikuti training esq, tiada perkara baru pun yg 'diajar' oleh training ESQ. hadis2 yg ditunjukkan, adalah hadis yg selalu kita baca dan dengar, ayat2 yg digunakan juga sahih terkandung dalam quran. trainer pun tk pernah sekali pun kata, "terima kasih lah pada ESQ kerana memberi hidayah kpd anda". malahan mereka berulang kali mengingatkan, jangan sekali2 berterima kasih kpd ESQ tp bersyukurlah kpd Allah.

Kalau nak kata tunduk dalam gelap, mengenang dosa2 dan kesilapan silam, muhasabah diri dan mohon ampun kpd Allah, sampai menangis itu satu dosa, maka, byk lg program motivasi lain yg sepatutnya turut di haramkan. kebanyakan program motivasi/bengkel kendiri menggunakan pendekatan yg serupa, cuma mungkin teknologi yg digunakan oleh ESQ lebih canggih, maka kesannya lebih mendalam.

Sekali lg saya menegaskan, ESQ membuat saya lebih cintakan rasul, al quran dan Allah. dan saya bersyukur kerana terpilih utk menyertainya. Esq juga mengajar saya supaya lebih tabah dan redha dngn ketentuan Ilahi, lebih menjaga solat, puasa , berzakat dan sebagainya.


Apakah itu juga salah?

Anda sekadar melihat dari luar cermin kaca, adilkah anda menghukum secara total?

Saya adalah salah seorang kesatria ESQ.


Namun sebaik sahaja habis training, saya tetap juga hamba Allah seperti yg lain2 juga. saya tetap bersolat, sy tetap beriman kpd Allah, malaikat, rasul, quran, hari kiamat dan qada' dan qadar, malahan jujur saya mengaku, keimanan saya lebih teguh jika dibandingkan dengan sebelumnya. hanya itu yang saya tahu. hanya itu yg saya bawa keluar dari dalam dewan, hingga ke mana2 saya berada.

"Malaikat sentiasa mencatat amalan saya! seperti kisah dudi dan sikat gigi"

"Saya di uji, tapi apalah sgt ujian saya ini jika hendak dibandingkn dengan ujian Nabi saw"

"Saya baca quran, bukan sekadar buku biasa tapi mukjizat dari Allah, jika mereka menangis bila dibacakan ayat2 quran, saya bagaimana?"

Mungkin benar hujah para bijaksana yg lebih arif, sy akui kekurangan saya, namun.. andai lebih banyak 'manfaat' yg sy dpt dari ESQ dan 'yang buruk' itu sedikit pun tidak pernah menjejaskan iman dan akidah saya, maka, saya terpaksa meminta maaf kerana saya akan tetap teguh dengan pendirian saya.

Ambil yg baik, buang yg buruk. yg menulis adalah saya, namun yg mengizinkannya adalah Allah swt.

Mohon ampun dan maaf. ^_^


P/s: di copy dan di edit dari post saya di forum iluvislam.com