+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, July 21, 2010

Sabarlah Wahai Hati

Tuhan yang beri kita rezeki, dan hanya Dia yang berkuasa mengambilnya semula. Duit dalam genggaman kita, dalam akaun bank, dalam poket seluar mahu pun beg duit belum tentu lagi menjadi milik kita. Bila-bila saja kita mungkin kehilangannya. Andai ditakdirkan kita mati hari ini, kita kembali kepada-Nya dengan tangan yang kosong.  Tanpa wang, tanpa harta. Semuanya milik Allah. Dan Dia berhak atas segalanya.


Allah swt berfirman;


“Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian bahawa sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28)
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" (Al-Baqarah 2:155)
Bila diuji, bersabarlah wahai hati.


Musibah datang dalam pelbagai cara. Musibah dan ujian merupakan tarbiyah daripada Allah bagi mereka yang celik hati dan akalnya.  Bila diuji, bagaimana penerimaan kita terhadap musibah tersebut? Apakah kita menerima ujian dari-Nya dengan hati yang terbuka, berlapang dada dan kembali muhasabah diri, memperbaiki kelemahan diri dan meningkatkan lagi amalan seharian..


Atau bagaimana?


Jarang sekali kita bersyukur dengan ujian yang diberikan. Sedangkan mungkin juga, ujian itu merupakan salah satu peringatan kepada kita, supaya kembali dekat kepada-Nya, agar perbanyakkan amalan kepada-Nya, menadah tangan bermohon doa kepada Dia.  Moga kita dijauhi dari api neraka dan dimasukkan ke syurga.


Kerana Dia kasihkan kita. Sekali-sekala Dia 'mengejutkan' kita dari lena yang panjang. Menyedarkan kita dari kealpaan dan kelalaian.


Kerana semuanya milik Dia. Dia memberi kepada sesiapa yang Dia ingini sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Israk, ayat yang ke-30;


"Sesungguhnya Rab (Tuhan)mu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia (Allah) terhadap hamba-hamba-Nya (Allah) adalah al-Khabir (Maha Mengerti), lagi al-Basir (Maha Melihat)."


Wang dan harta yang kononnya milik kita juga bila-bila masa sahaja jika Dia mahu menariknya kembali, dengan pelbagai cara ia 'pergi' dari kita.


Contohnya tiba-tiba kita kehilangan wang, tercicir atau diragut. Atau mungkin bagi sesiapa yang miliki kereta, tetiba sahaja kereta rosak, atau tayar pecah atau terlanggar pokok, semuanya perlukan wang dan secara tidak lansung, duit itu keluar dari poket kita.


Allah swt berfirman berfirman lagi dalam surah Al-Ankabut, ayat ke-2;


“Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?”


Maka, bila Allah menguji kita dengan rezeki yang kita miliki. Buka mata. Muhasabahlah, periksa dan koreksi diri sendiri.


Peringatan buat diri saya sendiri adanya. Muhasabah diri sendiri. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena, sesuatu yang bukan pada tempatnya yang telah kita lakukan dan Allah mahu 'menegur' kita dengan cara tersebut.


Diriwayatkan dari Anas bahwa Rasulullah bersabda;


Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seorang hamba-Nya maka Dia menyegerakan hukuman baginya di dunia; sedang apabila Allah menghendaki keburukan pada seorang hambaNya maka Dia menangguhkan dosanya sampai Dia penuhi balasannya nanti di hari Kiamat.


(Hadits riwayat At-Tirmidzi dan Al-Hakim ).


Mungkinkah cara kita mendapatkan rezeki itu tidak diberkati oleh-Nya? Atau mungkin kita lupa untuk mengeluarkan sebahagian dari harta kita ke jalan Allah? Atau mungkin juga kita menyalahgunakan pinjaman Allah (contohnya kereta) dengan melakukan perkara-perkara yang dimunkari oleh Allah swt. Suatu peringatan dari-Nya, agar kita tidak terus leka bergelumang dengan perkara-perkara yang dibenci oleh-Nya.


Atau mungkin Allah menguji kita kerana ingin melihat sejauh mana kita menerima ketentuan-Nya. Bersabar dengan dugaan yang telah Dia berikan kepada kita. Bukankah Allah sayang kepada orang yang bersabar dan menerima ketentuan-Nya dengan hati yang tenang dan redha?




Firman Allah;


"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (At-Taghabun: 11).


Bersabarlah wahai hati, sesungguhnya Allah bersama dengan mereka yang sabar dan beriman kepada-Nya.


Allah berfirman lagi;


“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat sekali kecuali bagi orang yang khusyuk.”
(Surah al-Baqarah, ayat 45)


"Wahai orang-orang yang beriman ! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh,Allah beserta orang-orang yang sabar (Al-Baqarah, ayat 153 )



Wahai hati, bersabarlah. Jangan berputus asa dan teruskanlah berjuang, mohonlah pertolongan dan perlindungan daripada Allah. Dan yakinlah bahawa  cukuplah Allah sebagai penolong. Bersabarlah wahai hati. Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersamamu, bila ditimpa musibhah, hadapilah segalanya dengan tabah dan ucapkanlah "Innalillahiwainnailaihirajiun".


Muhasabah buat diri ini. Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang sabar dan khusyuk.


Amin ya rabb..



Tuesday, July 20, 2010

Utamakan Mana yang Lebih Utama

Alhamdulillah, 13 Julai yang lepas genap 2 bulan saya bertugas di tempat kerja yang baru. Dua bulan bukanlah suatu tempoh yang lama namun bagi saya, ia penuh makna dan saya sangat menghargainya. Dua bulan berlalu, banyak pengalaman baru yang telah saya lalui. Tidak mampu ditulis dengan pena mahupun terucap dengan kata-kata. Dalam hati ini, minda ini, semuanya terakam sebagai suatu kenangan yang sukar untuk saya lupakan.

Tempat kerja lama cuma beberapa orang pekerja, walaupun ada muslim dan non-muslim namun yang muslimnya lebih menggambarkan 'keislamannya' jika hendak dibandingkan dengan rakan sekerja yang baru. Mungkin kerana latar belakang pendidikan teman sekerja lama, semuanya berpendidikan tinggi dan mungkin juga kerana populasi kami sedikit, jadi yang muslimnya lebih menampakkan 'ciri-ciri seorang muslim'. Yang ketaranya adalah bab solat. Bukankah solat itu tiang agama? Membezakan seorang muslim dengan bukan muslim?

Berbeza dengan tempat baru. Mungkin kerana di sini jumlahnya ramai. Maka kebarangkalian untuk pekerja tidak menunaikan solat juga tinggi. Dan mungkin juga kerana latar belakang pendidikan yang berbeza-beza, maka ada yang solat dan ada yang tidak.

Aplikasi dari suasana kerja. Jika di tempat kerja saya, kami mempunyai beberapa department. Setiap kali 'raw material' daripada supplier tiba, maka akan ada In-coming QA yang akan melakukan inspection. Mereka perlu patuhi kriteria yang ditetapkan untuk Acceptance Quality Level (AQL). Dalam beberapa sampel tertentu, berapa kuantiti rejek atau pass menentukan samada keseluruhan material itu diterima atau direjek.

Dalam proses, in-coming inspection adalah langkah pertama yang perlu dilalui. Jika awal-awal direjek, maka tiadalah proses selanjutnya iaitu stamping, packing dan seterusnya. Semuanya tiada.

Begitu juga dengan kehidupan kita. Sebagai seorang muslim yang mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, kita juga ada proses-proses yang perlu dilalui. Ada work instruction yang perlu dipatuhi. Tidak boleh lari dari specification yang telah ditentukan oleh-Nya.

"Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan."

(Yaasin:65)


Kita yakin dan percaya bahawa kita semua pasti mati. Dan bila tiba saat itu, saat tangan dan kaki mula berbicara, tiada apa lagi yang mampu menyelamatkan kita melainkan amal ibadat kita ketika hidup kita di muka bumi.

Jika di kilang In-coming QA adalah proses pertama yang perlu dilalui, namun di akhirat sana, solat adalah perkara pertama yang akan dinilai.

Maksud hadith Nabi s.a.w : "Perkara pertama yang akan dihitung ke atas seseorang hamba pada hari kiamat ialah solat. Apabila baik solatnya maka baiklah seluruh amalannya, Dan jika rosak maka rosaklah segala amalannya. "

Sabda Rasulullah s.a.w lagi. "Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat sesungguhnya dia telah mendirikan agama, dan sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama."

======================

Saya tidak pasti mengapa Allah menghantar saya ke sini. Namun hati saya kuat mengatakan bahawa ada sesuatu yang tertulis untuk saya di sini. Saya percaya bahawa saya sememangnya sudah ditakdirkan berkhidmat di sini. Sejak hari pertama saya menghadiri interview, dengan keadaan tidak tahu apa-apa mengenai tempat kerja ini, memandu mengikut gerak hati namun secara tiba-tiba sampai di hadapan kilang, hati saya terdetik.

"Ada sesuatu untukku, di sini. "

Dan hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya. Ya Allah, bantulah aku. Berikan aku kekuatan.

Monday, July 19, 2010

Hanya Itu yang Kuharapkan

Tangan ini milik Dia. Kaki ini milik Dia. Jasad ini milik Dia. Nyawa ini juga milik Dia. Tiada satu pun milikku. Aku sekadar peminjam. Yang telah menandatangai suatu perjanjian, untuk terus taat dan setia kepada-Nya sejak aku dalam kandungan bonda. Hingga ke suatu masa yang aku sendiri tidak tahu bila. Ya. Perjanjian ini aku pikul, sejak aku menjengah dunia, hingga aku kembali meninggalkan bumi yang fana ini.

Aku berjanji dan bersumpah, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad saw adalah pesuruh Allah. Aku berjanji dan berikrar, hanya pada-Nya aku berserah dan hanya pada-Nya aku memohon pertolongan. Akulah hamba itu. Yang berikrar dan berjanji namun aku jugalah yang sering menodai janji-janjiku.

Oh Tuhan. Betapa besar dosa-dosaku. Betapa beratnya tanggungan dosa yang aku pikul dibahuku ini. Betapa hinanya aku. Sering mungkir janji. Mudah lupa diri. Mudah-mudah saja aku melanggar ikrar dan sumpahku pada-Mu. Sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri Ya Allah.

Oh Tuhan.

Apakah masih ada ruang keampunan dari-Mu buatku?
Apakah masih ada ruang untuk aku bertaubat dan kembali pada-Mu?
Apakah masih ada sinar harapan buatku?
Apakah masih ada tempat untukku di syurga-Mu?

Layakkah aku menjadi penghuni Firdausi?
Layakkah aku bertemu kekasih-Mu?

Aku rindu dia namun sering saja aku alpa dan lupa. Menjadi hina dina.

On Tuhan.

Sungguh aku malu.

Terlalu banyak nikmat yang Kau berikan padaku namun aku tegar mengkhinati-Mu.

Terlalu banyak anugerah-Mu untukku namun tergamak aku mengingkari.
Ampunkanlah dosa-dosaku Ya Allah. Tanpa keampunan-Mu, aku golongan yang rugi.

Pimpinlah hatiku Ya Tuhan, jangan biar aku hanyut. Jangan biar aku jauh.
Pegang aku dekat dengan-Mu. Kerana aku percaya dan yakin. Suatu hari nanti, aku juga pasti mati. Semuanya akan aku tinggalkan. Di sana kelak aku sebatang kara. Hanya limpah kasih dan rahmat-Mu yang aku harapkan. Hanya itu yang mampu menyelamatkan aku di negeri abadi.

Lindungilah aku Ya Rabb.



Sunday, July 18, 2010

Kita Minta Dari Siapa?

Kita bukanlah 'superhero' yang mampu mendapatkan segala yang kita inginkan cuma sekadar dengan memetik jari. Sebagai manusia yang punyai nafsu, naluri dan keinginan, sering sahaja kita berasa tidak cukup dan tidak puas dengan apa yang kita miliki.

Dari semasa ke semasa, tuntutan dan kehendak kita kian bertambah. Jika di zaman kanak-kanak, jumlah wang sebanyak RM 1 sangat besar nilainya kepada kita, namun seiring dengan peredaran masa, lama kelamaan, duit sebanyak RM1000 pun belum mampu memuaskan kita. Mungkinkah ini lumrah yang dilalui semua orang?

Jika dulu keinginan kita kepada makanan ringan dan baju baru. Bila usia sedang meningkat, keinginan kita juga berubah dan bertambah. Kita mahu mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Kita mahu mempunyai kerja yang baik, gaji yang mahal. Kita mahu bernikah dan punyai keluarga yang bahagia. Kita mahu anak-anak kita berjaya dan banyak lagi kemahuan kita.

Syukur seandainya keinginan kita dapat kita capai namun bagaimana pula seandainya sebaliknya yang terjadi?

Keputusan akademik kita merosot. Kewangan kita terhimpit. Ke hulu ke hilir kita sendirian tanpa teman sejati. Di saat sahabat-sahabat memandu kereta sendiri, memiliki rumah kediaman masing-masing, dimeriahkan lagi dengan isteri dan anak-anak, kita masih lagi membujang. Menu setia selalu saja mee segera. Bagaiaman agaknya jeritan hati kita? Tuntutan naluri kita? Memberontak menjerit-jerit barangkali?

Sebagai seorang pelajar misalannya, kadang-kadang wang pinjaman atau biasiswa tidak mencukupi. Dengan wang sebanyak itu untuk membayar yuran, belanja harian, makanan minuman, yuran asrama, membeli buku, menyiapkan assingment dan lain-lain, kita kian terhimpit. Terdesak. Kita perlukan wang. Kepada siapa kita meminta?

Wajah-wajah pertama yang terbayang di minda kita tentunya mak dan ayah. Ya. Mereka orang pertama yang kita ingat di kala kita dalam kesusahan. Sebagai ibu dan ayah, tentunya mereka tidak akan menolak untuk menghulurkan bantuan. Kepada mereka kita memohon pertolongan.

Kita minta wang dari mereka, seolah-olah mereka mesin pencetak wang. Mereka orang pertama yang kita dekati seolah-olah merekalah yang paling hebat dalam segala hal. Lupakah kita kepada Allah yang Maha Pencipta? Bukankah Dia yang maha berkuasa? Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana. Dia yang Maha Mengetahui, Maha Melihat dan Maha Mendengar.

Tapi kenapa bukan kepada Dia kita memohon pertolongan? Mungkinkah Dia sedang merindui ratapan tangis rindu kita terhadap-Nya?

Betapa Islam itu agama yang sempurna.

Kita diwajibkan solat 5 waktu sehari. Disamping solat fardu, kita juga disunatkan mengerjakan solat-solat sunat seperti solat taubat, solat istikharah, solat hajat dan banyak lagi. Solat hajat didirikan bila kita mempunyai keinginan dan hajat yang ingin dicapai, bermohon dari Allah dan berdoa, moga-moga hajat terlaksanakan.

Jika kita inginkan sesuatu, maka tunaikanlah solat hajar, minta pertolongan daripada Allah swt. Saya berpendapat, ia adalah perkara pertama yang perlu kita lakukan kerana setiap kali solat, dan membaca surah al fatihah, sekurang-kurangnya 17 kali dalam solat kita berikrar, "Iyya kana' budu waiyya kanasta'iin" yang bermaksud, " hanya kepada Allah kita sembah dan hanya kepada Allah kita mohon pertolongan. Hanya Allah kita sembah, dan hanya pada ALLAH kita mohon pertolongan. Habis kenapa kita tak minta pada Allah apa saja hajat kita? Kenapa kita sering melupakan Dia?

Tunaikanlah solat 2 rakaat, tadah tangan kepadaNya, mengadu dan mintalah pada Allah. Dia Maha Mendengar dan memakbulkan doa-doa hamba-Nya.

Bukankah Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita, baginda sendiri apabila berdepan dengan kesulitan dan masalah, segera berwudhuk dan mengerjakan solat. Oleh itu, kita seharusnya mencontohi baginda. Sekiranya kita mengalami apa-apa kesulitan atau kalau kita ada apa-apa hajat, maka, kerjakanlah solat.

Bukankah ALLAH ada berfirman dalam Quran.

Surah al-Baqarah ayat 45 , maksudnya ;

“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat….”

Dalam sebuah hadith disebutkan bahawa, apabila seseorang itu mengkehendaki sesuatu hajat, samaada hajat duniawi atau hajat ukhrawi, yang berkaitan dengan Allah atau dengan manusia, hendaklah dia mengambil wudhuk dengan sempurna, lalu segera mendirikan solat 2 rakaat, kemudian memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi SAW. Selesai bersolat maka berdoalah pada Allah mohon hajat diperkenankan. Mudah-mudahan doa tersebut dimakbulkan Allah swt.

Betapa indahnya agama kita. Begitulah ajaran Islam pada kita. Ada hajat, ada keinginan, ada masalah, perkara yang pertama harus kita lakukan adalah ingat kepada Allah swt yang maha berkuasa atas segalanya. Tiap apa yang berlaku adalah hanya dengan keizinannnya. Oleh itu, usah bertangguh, teruslah minta dengan Allah .

Tunaikanlah solat 2 rakaat, puji Allah , selawat ke atas Nabi SAW. Mengadu, merintihlah dan mohonlah pada Allah supaya menolong dan menentukan yang terbaik buat kita. Kerana sesungguhnya, hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Namun sayangngnya, mengapa kita sangat jarang melaksanakan apa yang diajar oleh baginda?

Ramai diantara kita, hanya menjadikan solat hajat dan doa ini sebagai cara atau jalan terakhir kita meminta sesuatu. Apabila dah tak berjaya, apabila dah tiada makhluk lain yang dapat menolong kita, barulah nak terhegeh-hegeh berdoa dan mohon pertolongan ALLAH. Adakah kita patut berbuat demikian? Mari muhasabah diri.

Sebetulnya, dalam apa jua perkara, perkara pertama yang perlu kita lakukan dulu ialah, solat dua rakaat dan berdoa kepada Allah terlebih dahulu. Mohonlah sungguh-sungguh daripada Allah swt agar Dia menunaikan hajat dan permintaan kita.

Setelah kita meminta bersungguh-sungguh daripada Allah, maka berusahalah sedaya mampu kita untuk mencapai hajat dan keinginan kita tersebut. Mudah-mudahan, usaha yang kita lakukan itu adalah usaha yang terbaik, berkat doa dan restu dari-Nya dan seterusnya membuahkan hasil yang terbaik, InsyaAllah.

"Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah."




Wednesday, July 14, 2010

"Saya Rasa Saya Betul"

Dimulai dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

Sedang tadi membaca tafsir Al-Quran Surah Al-Kahfi, jiwa saya terusik dan tertanya sendiri, apakah saya tergolong dalam golongan itu, golongan yang sakit dan sering berfikiran :

"Saya rasa saya sentiasa betul!!".

Naauzubillahiminzalik. Minta dijauhi. Namun begitu, sebagai manusia yang lemah dan sering alpa, saya sedar dan bimbang andai diri ini juga tidak terlepas dari perbuatan yang menzalimi diri sendiri. Astagfirullahalazim. Mohon ampun dari-Mu Tuhan. Ampunkanlah segala dosa-dosaku.

Sahabat. Suka saya kongsikan petikan ayat-ayat tersebut di sini, agar menjadi peringatan buat diri saya sendiri pada masa akan datang, dan seandainya sahabat turut mendapat manfaat darinya, segala pujian dan syukur kepada Allah yang paling berhak atas segalanya.

Bismillahirrahmanirrahim..

Siapakah orang yang rugi?

[103]Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

[104](Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".

[105]Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

[106](Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.


Apakah balasan kepada orang yang beriman dan soleh?

[107]Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).

[108]Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.


Maha Suci Allah

[109]Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".