Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".[Surah Al-Israa' : Ayat 88]
Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain daripadaNya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang. [Surah Al-Israa' : Ayat 97]
Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmat Kami turunkan Al-Quran, dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). [Surah Al-Israa' : Ayat 105]
Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur. [Surah Al-Israa' : Ayat 106] Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk);[Surah Al-Israa' : Ayat 107] Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): "Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. " [Surah Al-Israa' : Ayat 108] Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk. [Surah Al-Israa' : Ayat 109]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu. [Surah Al-Israa' : Ayat 110]
Lincah dia di dapur. Sekilas pandang seolah-olah sedang menari-nari dari sinki ke peti ais, ke mudian menuju dapur masak dan berulang-ulang. Sekali sekala aku dengar suara dia menyanyi-nyanyi. Riang nampaknya dia. Sedang bahagia barangkali.
Tidak mahu menganggu moodnya. Sejak akhir-akhir ini, bukan mudah untuk aku melihat dia seriang itu. Susah. Selalunya muncung, cemberut masam mencuka. Selalunya lemah longlai tidak bermaya. Selalunya mengelamun jauh melayan emosi. Kali ini berbeza, aku senang melihat dia begini.
Seminit, dua minit. Lama menanti, hadir rasa penat.
"Kau nak makan apa? Aku boleh masakkan." Dia menjawab.
"Sekarang kau masak apa? Apa yang kau suka, itulah yang aku suka. Bukan kau tidak kenal aku." Begitu aku menjawab. Memang betul dia tahu apa yang aku suka.
"Macam-macam ada, nanti kau tengoklah, rahsia!" Masih berdalih, namun senyuman yang terukir dibibirnya kian menawan. Aku membalas. Senyum. Aku bahagia andai dia bahagia.
"Kau happy hari ini, boleh aku tahu kenapa?" Seperti selalunya, aku mahu tahu.
Dia tergelak kecil, menyambung kerja masak-memasak.
"Alaaa.. Takkan dengan aku pun kau mahu berahsia.. Bagitahulah.." Aku cuba memujuk, mengorek rahsia yang tersimpan di dadanya.
"Kau rasa kenapa?" Aku pula yang ditanya. Aku tidak menjawab, sekadar mencebik bibir.
"Aku tanya kau. Kalau pun aku tahu kenapa, aku tetap mahu dengar dari bibir kau sendiri. Ada orang masuk meminang kau kah?" Sengaja aku menjerat. Kalau-kalau dia terjerat.
Dia ketawa mengekek, menahan tawanya agak tidak terlampau-lampau sambil tangannya sibuk mengacau kari di dalam periuk.
"Siapa mahu aku? Kau nih, kot ya pun biar lah logik sikit." Dia menyambung tawa, aku ikut sekali. Aku bahagia begini. Ketawa bersama dia.
"Habis kau berahsia mengapa? Happy semacam saja aku tengok, mesti ada apa-apa." Masih tidak berpuas hati, aku cuba menebak lagi.
Tawanya terhenti. Dia mengarahkan pandangannya tepat ke wajahku. Riak wajahnya berubah. Matanya direnung tajam menikam mataku. Serius benar dia. Menyesal pulak aku menyibuk. Aku diam. Takut menyiram minyak dibara merah, kelak api kian marak, yang binasa aku juga.
"Apa kau pasti, setiap apa juga yang kita lakukan, pasti memerlukan sebab? Semuanya harus mempunyai alasan? Tidak boleh tidak?" Dia pula bertanya kepadaku, keningnya terangkat, dahinya berkedut-kedut.
Tersentap. Aku tiada jawapan juga. Lalu kini giliran aku pula mengunci bibir, diam.
Dia menguis-nguis kakinya ke pasir. Bagai siaran ulang tayang, entah kali ke berapa aku lihat dia berteleku begitu. Aku mendekati. Ismail Bin Ibrahim juga suatu ketika dulu pernah menguis-nguis kakinya ke tanah. Lalu keluar air mata air, tapi di bawah tapak kaki dia, aku lihat tiada apa-apa. Tiada air mata air tapi di pipinya, ada air mata yang jernih mengalir. Dia menangis.
"Oits!" Aku menyapa. Dia cepat-cepat menyapu air mata. Menoleh ke arahku lalu mengukir sebuah senyuman. Dia selalu begitu, suka menyembunyikan dukanya di balik senyuman.
"Apa oits oits! Sejak bila tak reti bagi salam?" Dia mencengilkan matanya sambil jarinya mencubit pehaku. Aku cuba mengelak namun terlambat. Sudahnya aku mengaduh sendirian seraya mengusap bekas cubitan, biar cepat hilang rasa sakitnya.
"Aku nampak kau menangis. Boleh aku tahu kenapa?" Tanpa berdalih, aku bertanya. Dia kembali diam. Senyuman di bibirnya yang dibuat-buat hilang serta-merta. Dia menggeleng-gelengkan kepala, namun aku tahu, dia tahu bahawa dia tidak mampu menipu aku. Dia kembali tunduk ke bawah, menyambung kerja menguis pasir dengan hujung jari kakinya.
"Entahlah. Aku pun tidak tahu mahu kata bagaimana. Tapi dadaku terasa sempit, hatiku bagai tersiat-siat. Seksa. Sakit. Dan aku pun tak tahu mengapa. Makin lama makin sakit." Begitu dia meluahkan tanpa memandang sekilas pun ke arahku. Aku masih tekun mendengar. Menanti dia menyambung kata-katanya namun hampa. Dia membisu.
"Apa kau tidak bahagia dengan hidup kau sekarang?" Aku kembali bertanya setelah kami sepi seketika. Dia cuma mengangkat bahu. Tidak tahu mahu menjawab apa. Beberapa detik kemudiannya dia menganggukkan kepalanya.
"Ya. Hidup aku dulu lebih bahagia. Berseronok, punyai banyak teman. Ke sana-sini berhibur. Ramai orang gila-gilakan aku. Aku dipuja, disanjung. Tapi kini, aku hidup sendirian. Tiada siapa kecuali engkau." Suaranya lirih. Bagai meluahkan segala nanah yang terperap dan membusuk di dada. Pengakuan jujurnya ikhlas dari hati, aku tahu itu dan ia membuatkan aku tersentak.
"Istighfar. Hidayah milik Allah. Dia beri kepada siapa yang Dia mahu. Kau patut bersyukur kerana kau antara insan yang terpilih, untuk menikmati indahnya nur Allah. Bukan semua orang diberi peluang yang sama. Ramai yang sesat terus hanyut. Tak kurangnya yang mati dalam kehinaan. Apa kau sanggup dihumban ke neraka? Apa kau ingin kesudahan hidupmu kelak bersama mereka yang dibenci Allah? Beristigfar." Lagak iman muda, aku menyusun kata. Biar padat, biar terus melekat kejap ke dasar kalbunya. Aku tidak mahu dia kembali hanyut. Aku cinta dia.
Bahunya terhinjut-hinjut. Aku tahu dia menangis lagi. Aku biarkan saja dia meluahkan rasa hatinya. Andai itu yang mampu membuatkan jiwanya tenang. Menangislah.
"Aku pun tidak tahu mengapa, makin kuat aku mencuba mendekati Allah, makin hebat ujian yang menimpa aku. Makin sakit yang aku rasakan. Apakah Allah tidak sayangkan aku?" Dalam esakan, dia mengucapkan kalimah itu. Aku tidak silap dengar. Memang itu yang dia lafazkan.
"Allah sudah berfirman, Dia beri ujian hanya kepada hamba-Nya yang mampu. Jadi kau harus yakin bahawa kau mampu menghadapinya. Allah juga berfirman, hamba-Nya tidak akan masuk syurga selagi tidak diuji, jadi berbahagialah, ujian ini mungkin kunci untukmu ke syurga. Allah juga berfirman, berulang kali, sesudah kesulitan, ada kemudahan. Bertenanglah, sakit bukan selamanya. Derita bukan selamanya. Andai doamu tidak dimakbulkan Tuhan, ketahuilah bahawasanya bukan Dia mengendahkanmu, tapi mungkin kerana Dia merindui rintihanmu, mahu kau lebih dekat dengan-Nya. Berbahagialah, andai tidak esok atau lusa doamu termakbulkan, mungkin di akhirat sana tempat kau mengutip segala nikmat-Nya. Kau tidak pernah sendirian, Allah sentiasa ada bersamamu. Dia sentiasa menyayangimu, lebih daripada aku mencintaimu." Penuh keyakinan, aku melontarkan bait-bait kata itu, biar menikam tangkai hatinya, biar terpahat kukuh. Biar berpadu kemas di ingatannya, agar dia tidak akan lupa sampai bila-bila.
Sepi lagi. Aku dan dia masing-masing membisu.
Dia mengangkat wajah, melontarkan pandangannya membelah lautan. Jauh tidak bertepian.
"Benarkah Allah sayangkan aku? Sedangkan aku hamba-Nya yang telah banyak melakukan dosa? Sering melupakan dia?" Soalan itu diajukan kepadaku. Aku sekadar angguk.
"Benar, asalkan kau kembali pada-Nya dengan hati yang suci, ikhlas dan taubat yang sungguh-sungguh. Jangan ragu, jangan goyah. Dia yang menciptakanmu, mana mungkin Dia tidak mencintaimu. Bertaubatlah, dan teruslah teguh di jalan taubatmu. Kemanisan iman dan kenikmatan bercinta dengan-Nya, itulah sebenar-benar kebahagiaan. " Aku menyambung sambil menghadiahkannya sekuntum senyuman tanda kasih.
Dia bingkas, berdiri. Bagai ada tenaga baru meresap ke tubuhnya. Dia kelihatan penuh bersemangat. Wajahnya berseri-seri.
"Aku sayang Allah, Allah sayang aku. Terima kasih Allah, untuk segala-galanya." Jeritnya ke arah lautan luas, bagai memberitahu seluruh alam betapa cintanya dia kepada Sang Pencipta.
"Aku rasa hidup aku serba tak kena, aku rasa rendah diri kerana aku bukanlah wanita yang sempurna." Dia menuturkan kata-kata itu sambil wajahnya menunduk merenung tanah. Bagai berbicara pada dirinya sendiri, sedangkan aku setia berdiri di sebelahnya. Sejak dulu sampai bila-bila, aku akan sentiasa menemaninya. Tapi dia sering melupakan aku. Ah..
"Apa takrifan sempurna pada kau?" Biarpun aku sedar aku bukanlah watak yang signifikan dalam hidupnya, namun aku memberanikan diri untuk kembali bertanya kepada dia.
Dia diam membisu. Mengunci bibir. Masih tunduk tidak mengangkat wajah. Kaku bagai patung cendana menanti masa mahu tumbang. Aku juga diam.
"Kau tahu, setiap wanita pastinya mengidamkan keluarga yang bahagia, punya anak, punya suami, aku tiada. Hidupku tidak lengkap tanpa mereka, jadi aku bukanlah wanita yang sempurna." Begitu tutur bicaranya bagai petir menikam tangkai jantungku. Aku menolehkan wajahku, mencari wajahnya yang masih diam membungkam. Mencari reaksi apa yang sedang terlukis di wajahnya. Mencari rasa apa yang sedang menyerang jiwanya.
Dia masih membatu. Aku hampa.
"Kau tak salah. Tapi kau juga tidak seratus peratus betul." Aku membidas. Sambil setia menanti tindak balas darinya.
"Maksud kau apa?" Dia pula bertanya kepadaku. Wajahnya diangkat, matanya yang layu diarahkan kewajahku pula. Aku tergamam seketika. Panahan matanya benar-benar menikam sanubariku. Lukisan apakah yang terukir di wajahnya? Cahaya apakah yang terpancar dari kedua matanya? Tidak mampu membalas renungan lebih lama, aku mengalah, memalingkan wajahku ke arah awan biru yang terapung tanpa tali. Aku menghembus nafasku perlahan.
"Maksud aku, memang wanita normal adalah seperti apa yang kau katakan, tapi tidak bermakna wanita akan cacat atau tempang tanpa suami atau anak-anak." Aku menyusun kata-kata namun aku sendiri terbelit dengan bicaraku sendiri.
Dia menggelengkan kepalanya tanda tidak mengerti dengan butir bicaraku. Aku menarik nafas dalam-dalam, masih mencari kata-kata yang lebih sesuai, atau lebih mudah untuk fahamkan dia.
"Begini.. Lumrah manusia diciptakan berpasangan. Sunyi tanpa teman. Bahagia bila dikasihi, dihargai. Perlukan perlindungan dan tempat mengadu. Sebagaimana hawa dicipta untuk adam, begitulah naluri seorang wanita yang sentiasa merasakan tempatnya adalah di sisi adam, tanpa adam, hidup bagai tiada erti. Kau tahu, adam dan hawa juga pernah terpisah. Bertahun-tahun mereka mengembara, mencari dan terus mencari. Walaupun awalnya hawa diciptakan untuk adam, tapi cinta mereka juga diuji." Aku mwnyusun kata, berharap agar dia mengerti. Dia masih diam. Mungkin makin keliru.
"Ajal maut, jodoh pertemuan semuanya sudah ditentukan oleh Dia. Jika hari ini kau tidak miliki segala apa yang mereka telah miliki, mungkin esok atau lusa tiba pula giliran kau. Usah dikesali segala yang belum tentu menjadi milikmu kerana kau sendiri tidak tahu sampai bila kau akan hidup. Mungkin esok kau dijemput kembali ke rahmatullah. Justeru itu, berbahagialah dengan apa yang kau miliki hari ini. Biarpun seorang. Biarpun sendirian ditemani airmata. Teruskanlah hidup. Allah sentiasa ada bersamamu." Aku masih menyambung bicara. Wajahnya beransur tenang. Membuatkan ketegangan aku bertambah kendur.
"Jadilah seperti Maryam binti Imran, yang hidup tanpa lelaki bergelar suami, namun tetap menjaga kesucian dan ketaatannya kepada Allah. Dia juga wanita. Seperti engkau. Namanya tercatit indah dalam Al-Quran. Syurga tempat untuknya."Ujarku lagi, seraya mengalihkan pandangan mataku menatap wajahnya pula. Dia membalas renungannku, lebih bersemangat dari tadi. Bagai punyai semangat baru. Aku senang melihat riak wajahnya kali ini.
Dia masih mengunci bibir namun di wajahnya terlukis garis senyuman. Manis sekali. Tanpa kata dia mengangguk-anggukkan kepalanya sambil memandang ke arah ku. Kini giliranku pula diam membisu. Saraf otakku kembali berkerja, menghitung dan berkira-kira, gerangan apa yang bermain di fikiran dia. Begitu cepat dia berubah angin.
"Kini aku mengerti, aku dicipta untuk beribadat kepada Allah, semata-mata untuk Allah. Suami sebagai sebahagian cara untuk aku menunjukkan ketaatanku kepada Allah, tapi tanpa suami seperti Maryam juga aku bisa membuktikan ketaatan ku kepada Dia. Aku tercipta untuk-Nya, bukan untuk makhluk bernama lelaki. Apa jua mendatang, aku redha, kerana aku sedar, aku cuma hamba. Ya, aku hanya untuk-Nya." Begitu dia menyimpulkan. Aku kehilangan kata-kata. Biarlah dia dengan kefahamannya. Asalkan dia kembali senyum, kembali optimis. Aku juga turut berasa bahagia. Aku anggukkan saja kepalaku.
Dia terus menguntum senyum. Mendongak wajah memandang ke langit. Bagai mencari sesuatu di atas sana, namun aku tidak bertanya apa. Diam di sisinya, menikmati keindahan alam pada petang yang membahagiakan.
'Wahai wanita. Kau tercipta indah. Tanpa dia atau dengannya, kau sememangnya indah.' Bisik hati kecilku. Aku tersenyum sendiri. Bersama seribu satu rahsia yang bersimpul kemas di dalam dada.
Kalendar bulan Mei di atas meja saya meriah bertanda. Pelbagai hari penting, sambutan perayaan, cuti umum jatuh pada bulan Mei, dimulai hari buruh pada 1 Mei, hari guru pada 16 Mei, hari ibu dan hari ayah dan tidak ketinggalan, hari wesak jatuh pada 28 Mei, insyaAllah jika usia bumi ini masih panjang. Tanpa kita atau dengan kewujudan kita. Sambutan itu diraikan setiap tahun.
Terlalu sibuk meraikan, sampaikan kita lupa pada tarikh penting 15 Mei. Apa signifikannya tarikh itu? Mungkin ada yang lupa atau sekadar memandang ringan dan mungkin juga ada yang lansung tidak tahu.
Ketahuilah wahai saudara-saudaraku yang dikasihi Allah. Tepat 15 hb Mei 2010 ini maka genaplah 62 tahun berlaku peristiwa Nakba iaitu peristiwa malapetaka ke atas rakyat Palestin. Pada 15 hb Mei 1948 itu tentera Zionis Israel telah melancarkan pembersihan etnik ( etnic cleansing ) iaitu sejumlah 750,000 orang atau tiga perempat populasi daripada rakyat Palestin dihalau keluar dari kediaman mereka.
Mereka telah dipaksa menjadi pelarian dalam negara Palestin sendiri dan termasuk di negara-negara jiran yang kini telah mencecah lebih 4.5 juta orang. Kini sudah lebih 6 dekad pelarian Palestin hidup dalam kemiskinan dan penafian keperluan asasi yang sangat parah.
Siapakah yang akan membela mereka? Sampai bilakah penderitaan ini akan terus ditanggung dan bilakah ianya akan berakhir? Sudah lebih 60 tahun , ummat Islam Palestin hidup di medan peperangan. Mereka berada di tengah – tengah kekejaman penjajah durjana Israel laknatullah. Mereka di tindas dan dizalimi tanpa simpati. Tanpa perikemanusiaan. Penderitaan demi penderitaan terpaksa ditanggung. Tidak mengira usia atau jantina, semuanya turut merasa kepahitan.
Jika kita di bumi Malaysia resah gelisah tatkala disirami hujan lebat, mereka hidup dihujani peluru dan bom. Ketika kita resah memikirkan esok mahu makan apa, mereka resah memikirkan samada esok masih bernafas atau tidak. Kehidupan mereka kian tersepit dan terhimpit. Tiada tanda-tanda akan berakhir.
Orang – orang tua Palestin diusir keluar dari tanahair, yang lelaki dikelar dan ditembak mati , kaum wanita pula diperkosa dan dibelah perutnya . Kanak – kanak mereka diletupkan , rumah kediaman mereka dibakar dan kampung halaman mereka dimusnahkan.
3 juta rakyat Palestin menjadi banduan di penjara terbesar di dunia apabila mereka di kepung oleh tentera Israel di Palestin dengan tembok sepanjang 720 km dan 8-12 meter tinggi . Lebih 11,000 rakayat Palestin dipenjarakan di Israel. Ada yang dipenjara sehingga 30 tahun tanpa alasan yang munasabah.
Tanggal 31 Ogos kita bersorak gembira meraikan Hari Kemerdekaan, sedangkan pada 31 hb Ogos 1897 adalah merupakan tarikh Persidangan Basel, Swisszerland iaitu permulaan kepada sejarah tercetusnya gerakan untuk menubuhkan sebuah Negara untuk umat Yahudi. Ini diekori dengan Deklarasi Balfor untuk merealisasikan hasrat ini.
Dan akhirnya pada tahun 1948 negara Israel diistiharkan yang didokong sepenuhnya oleh Amerika Syarikat.
Wajarkah kita hanya terus berpeluk tubuh? Bersikap tidak ambil peduli. Membiarkan saudara seagama kita berjuang bermati-matian demi meneruskan kelansungan hidup. Dan kita di sini bersenang lenang bersuka ria. Sedikit pun tidak terasa apa? Renungilah. Mengapa kita perlu pertahankan Palestine?
Adakah itu masih belum memadai? Lalu kita masih berkira-kira, ragu-ragu?
Nabi Muhammad Saw pernah bersabda;
" Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri ". ( Riwayat : Bukhari & Muslim )
Firman Allah Taala pula :
"Dan tolong menolonglah kamu dalam ( mengerjakan ) kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan ". ( Al-Maidah : 3 )
Muhabasah. Apa yang telah saya lakukan. Dan apakah pula yang akan saya lakukan? Selagi termampu, bangkitlah.
Di sini, saya ingin mengambil kesempatan, untuk berkongsi.. KLIK SINI. Lifeline 4 Gaza. Mari kita cakna, ambil tahu dan bertindak. Mereka saudara kita.