+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, August 7, 2009

Bukan Senang Mahu Senang

Bismillahirrahmanirahim..

Di mulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat nabi junjungan Muhammad SAW serta sahabat..

Alhamdulillah.. Setelah sekian lama blog ini menyepi, kali ini saya cuba menulis sebaris dua kata ayat untuk dikongsikan bersama. Mungkin penulisan kali ini adalah lebih kepada peringatan buat diri saya sendiri, yang sentiasa leka dan alpa. Peringatan buat diri ini yang sering saja tidak istiqamah, astagfirullahalazim. Mana yang baik kita jadikan tauladan dan yang buruk sama-sama kita buang jauh-jauh, insyaAllah.


Istiqamah.

Secara dasarnya Istiqamah bermaksud; berdiri teguh di atas jalan Islam dalam segenap ruang kehidupan sama ada dari sudut aqidah dan pegangan, amalan, pandangan hidup, perjuangan dan sebagainya iaitu tidak akan berganjak sedikit pun dari jalan tersebut walaupun terdapat pelbagai godaan dan rintangan. Wallahua'alam.

Istiqamah itu perlu tidak kira dalam apa jua amal kebaikan yang kita lakukan. Ini terbukti apabila Baginda Nabi Muhammad saw berkali-kali bersabda, antaranya di petik dari hadis-hadis berikut:

Diriwayatkan dari Sufyan Ibn ‘Abdullah r.a. menceritakan;

‘Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.;

"Ya Rasulullah! Nyatakan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau’. Jawab Rasulullah s.a.w.; ‘Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’ dan kemudian hendaklah kamu istiqamah".

(Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Menurut Imam al-Manawi pula dalam kitabnya “Faidhul Qadir”; seruan Rasulullah s.a.w. ;

‘Katakanlah; Aku beriman dengan Allah’, (perbaharuilah iman kamu kepada Allah dengan menyebutnya dengan hati kamu serta menuturnya dengan lidah kamu dengan menghadirkan segala pengertian iman yang disyari’atkan). Adapun seruan baginda; ‘hendaklah kamu beristiqamah’ bermaksud; beriltizamlah mengerjakan amalan-amalan ketaatan dan menjauhi perkara-perkara yang bertentangan (dengan kehendak Allah).

Jadi Istiqamah mengikut pandangan Imam al-Minawi ini ialah; kita sentiasa taat kepaad Allah dan menjauhi larangan-laranganNya. (Faidhul-Qadier, hadis no. 6143).


Kenapa Yang Mudah Menjadi Sukar?

Betapa diri ini insan yang hina lagi tidak mensyukuri nikmat Allah. Hingga kini persoalan ini belum bisa terjawab oleh saya, kenapa susah benar ingin istiqamah? Kenapa Iman saya sentiasa naik dan turun? Begitu sukar di duga. Ada masa kita boleh menghabiskan senaskah al-quran dalam masa dua minggu, ada masanya pula berbulan lamanya tidak menyentuh kitab suci itu. Astagfirullahalazim.. Ada masa pula berjam-jam solat sunat, ada masanya solat fardu acuh tak acuh, astagfirullahalazim.. Ada masanya begini dan ada masanya pula begitu.. Ya Allah, ampunkanlah dosaku.

Kenapakah susah benar untuk aku beristiqamah?

Adakah kerana diri ini angkuh?

Adakah kerana hati ini sudah hitam di balut dosa?

Adakah jasad ini sudah berkarat kerana tidak mempraktikkannya sejak dari kecil atau otak ini sudah beku?

Astagfirullahalazim.. Ampunkanlah segala dosaku Ya Tuhan..


Kenapa Perlu Istiqamah?

Kerana dengan istiqamah melakukan amalan terpuji, antara ganjaran yang bakal kita perolehi adalah jaminan ke syurga. Subhanallah.. Sedikit perkongsian untuk renungan bersama, antara hikmah-hikmah dan balasan baik yang diperolehi jika kita bersitiqamah, semoga kita sama-sama dapat mengambil iktibar, insyaAllah..

Saya teringat ceramah Ustaz Hj Zamri Zainal Abidin beberapa minggu yang lalu. Tajuknya berkisar kepada Israk Mikraj dan istiqamah. Keduanya dikaitkan dan ternyata, ada kesinambungannya. Contoh yang di kemukakan oleh Ustaz Hj Zamri adalah.. ketika israk mikraj, baginda Nabi SAW terdengar derapan tapak kaki seorang sahabat di syurga, yakni Bilal bin Rabah.. Sedangkan waktu itu, Bilal masih lagi hidup.

Sebaik saja bersama-sama dengan para sahabat yang lain, Nabi kemudiannya bertanya kepada Bilal Bin Rabah;

" Wahai Bilal Bin Rabah, apakah amalan kamu sehingga melayakkan kamu tempat di syurga?"

Setelah termenung seketika, Bilal menjawab dengan penuh rendah diri dan tawadhuk..

" Aku sentiasa melakukan solat sunat selepas wudhuk (kini dikenali solat sunat wudhuk).."

Dan akhirnya baginda Nabi mengesahkan, memang itulah amalan yang melayakkan Bilal di syurga. Jika di fikir-fikir secara logik, bukan susah untuk melakukan solat sunat dua rakaat. Sesiapa juga boleh melakukannya, maka sesiapa juga boleh masuk ke syurga.. namun yang susahnya adalah bagaimana ingin kekal istiqamah..

Alhamdulillah, Bilal kekal sentiasa istiqamah dengan amalannya yang 'mudah' itu maka syurgalah sebaik-baik ganjaran. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Semoga kita juga ditempatkan di syurga, amin..

Setiap dari kita pasti mati, setiap dari kita mengidamkan syurga sebagai destinasi terakhir kita, tapi apakah amalan yang kita telah lakukan sudah mencukupi untuk kita menempah 'tiket' ke syurga? Astagfirullahalazim.. Betapa beratnya tanggungan dosa yang sedang terpikul di pundakku Ya Allah.. Ampunkanlah segala dosa-dosaku.

"Ya Allah, hanya Engkaulah sahaja yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan...Ya Allah, pimpinlah hati kami agar sentiasa kekal di jalan-Mu yang lurus. Tunjukilah kami jalan yang lurus, yakni jalan orang-orang yang Kau berikan nikmat kepadanya, bukanlah jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat..amin ya rabbal alamin.."

Monday, August 3, 2009

ESQ : Pengalaman Terindah

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar..

Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan Muhammad Saw.. Kerana pengorbanan, ketabahan, kesabaran, kecintaan, kesungguhan dan kemuliaan baginda maka kita dapat menikmati nikmat Islam dan Iman, Alhamdulillah..

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, maka saya diberi kesempatan untuk mengikuti Training ESQ, angkatan ke-37, Kuala Lumpur . Training berlansung selama tiga hari iaitu pada tarikh bersejarah, 31 Julai 2009 – 2 Ogos 2009 di Putrajaya International Convensyen Center (PICC). Jurulatih kami yang bertuah ini adalah Encik Rinaldi Agusyana (adik kepada Ary Ginanjar Agustian, pengasas ESQ) dibantu oleh Encik Dudi Supriadi serta di bantu oleh Muqorrabin (rakyat Malaysia yang pernah menakluk Everest dan mengelilingi 21 buah negara dengan berbasikal)

Sekali lagi puji-pujian hanya kepada Allah Maha Pencipta. Alhamdulillah..

Dalam kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Presiden iLuvislam, Mohd Nurul Imran Koyube yang juga salah seorang alumni ESQ, dan juga terlibat sebagai penterjemah buku ESQ, kerana memberi saya dan beberapa sahabat yang lain, peluang dan kesempatan berharga mengikuti latihan ESQ ini. Jazakallah khairan kathiran. May Allah rewards us Jannatul Firdaus. Alhamdulillah, ketika hari terakhir latihan, saya berkesempatan bertemu dengan Ustaz Zahir (penasihat iLuvislam) dan Imran serta Ruzaini (founder iluvislam aka alumni esq).

Sempat Im berpesan, "nanti jangan lupa update sharing kat blog" now here i am..^_^

Gambar Kenangan.

Bersemangat!
Satria ESQ..go! go! go!
Satria ESQ.. fight! fight! fight!
Satria ESQ..win! win! win!
Satria ESQ 1 6 5!
ESQ YES!
ESQ BOLEH!
MALAYSIA BOLEH!


Senyuman dalam airmata, hik3..^^
Alhamdulillah.. dapat ramai kawan baru..
Kiri Puan Aini, kanan Puan Azlina


Entah apa yang ditepuk, lalat gamaknya, =p


Some of us.. Alhamdulillah, kami kini alumni ESQ.. Semoga dapat bertemu alumni-alumni seluruhnya.. insyaAllah

Perkongsian.

Mengikut perancangan awal, saya serta beberapa orang sahabat sepatutnya mengikuti training ESQ pada 4 Julai yang lepas, dan sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Menentukan segalanya. Waktu itu, saya menitiskan air mata kecewa kerana tidak dapat mengikutinya, dan kini, sepanjang mengikuti kursus ini selama tiga hari, lebih banyak air mata yang tumpah, tidak terhitung, subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar.. Selawat dan salam ke atas nabi junjungan Muhammad saw..

Tiga hari yang penuh makna di sini, tanpa segan silu dengan penuh rasa rendah diri saya mengaku, tidak pernah terlepas satu sesi pun air mata ini meluncur laju. Malahan, saya berani berkata, adalah aneh dan pelik jika peserta tidak menangis. Barangkali hatinya tidak tersentuh, jiwanya tidak gementar, tidak merasakan apa-apa kerana tidak pernah berbuat dosa, ataupun terlalu yakin, jika mereka mati saat itu, mereka pasti di masukkan ke syurga.. Astaghfirullahalazim..

Masakan tidak, setiap slot dan ruang di isi dengan begitu baik sekali. Ada pengisian yang bermanfaat dan menginsafkan. Terasa betapa diri ini kerdil, hina. Selama ini diri ini sudah banyak melakukan dosa, sudah banyak merosakkan diri, sudah banyak mengingkari suruhan Allah. Tertanya pada diri, andai aku mati kini, di manakah tempatku, adakah syurga atau neraka? Astagfirullahalazim..

Selain sesi menginsafi diri, mengagungkan kuasa Tuhan, mengenang jasa dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW.. kami juga disediakan dengan senaman dan permainan serta aktiviti fizikal. Selain untuk memastikan para peserta kekal cerdas sepanjang sesi yang berlansung dari jam 8 pagi hingga 7.30 petang itu, aktiviti-aktiviti tersebut juga mempunyai maknanya yang tersirat.

Contohnya senaman yang paling ringkas, empat langkah senaman iaitu lari setempat, berenang, memetik buah dan memanah yang membawa maksud.. kita mesti berkerja kuat (berlari), mengharungi rintangan (berenang) untuk menggapai impian (memetik buah) dan juga hendaklah fokus (memanah) untuk mencapai kejayaan. Itu baru senaman, apatah lagi dengan pelbagai permainan dan aktiviti yang lain, sarat dengan pengajaran yang tersirat. Alhamdulillah.

Sesungguhnya, pengalaman berharga yang di lalui selama tiga hari itu benar-benar berbekas dan menyentuh hingga ke dasar hati, tidak mampu terucap dengan kata-kata, tertulis dengan pena mahupun tertaip dengan keyboard kerana sesungguhnya, yang melihat adalah mata hati dan yang merasainya juga adalah hati ini. Maha Suci Allah..


Sedikit perkongsian dan pengakuan ikhlas dari saya untuk renungan bersama. Hari pertama, air mata saya gugur mengakui sesungguhnya, Muhammad itu utusan Allah, al-quran itu qalam Allah dan Allah itu Maha Berkuasa lagi Maha Agung. Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Maha suci Allah. Sesungguhnya, kekuasaan Allah meliputi langit dan bumi. Terasa selama ini betapa kerdilnya diri ini. Terasa betapa selama ini diri ini tidak memuliakan al-quran kalam Allah, terasa betapa diri ini tidak mencintai Allah sepenuh hati, tidak mencintai manusia mulia sepenuh hati. Astaghfirullahalazim.. Ampunkan dosa-dosaku Ya Allah..


“Ya Muhammad, sungguh besar pengorbananmu, sungguh mulia jasamu, betapa kau mencintai ummatmu, betapa kau mengasihi ummatmu, namun aku hamba yang hina sering alpa dan leka. Selama ini aku percaya al-quran itu kalam Allah namun aku tidak mengamalnya sepenuh hatiku. Aku tahu agama yang di bawamu benar, namun aku sering tergelincir dari landasan. Ya Muhammad, terimalah aku sebagai ummatmu, berikanlah aku syafaatmu. Ya Muhammad, aku cintakanmu, aku rindukanmu, aku ingin bertemu denganmu wahai kekasih Allah.. Ya Allah, pimpinlah hatiku, tunjukanlah aku jalanmu yang benar, ampunkanlah dosaku, masukkanlah aku ke syurga bersama mereka yang aku cintai, agar kami dapat bertemu kekasihmu di syurga yang abadi, Amin ya rabbal alamin..”


Tiga hari berlalu begitu cepat tidak terasa. Pastinya sesi yang tidak dapat dilupakan adalah sesi di mana telinga kami dibisikkan azan, dibisikkan kalimah syahadah, di Tanya berulang kami, siapa kami. Ditanya berulang kali apa yang kami mahu..airmata tumpah tidak tertahan lagi.. membayangkan betapa siksanya api neraka.. membayangkan diri ini belum bersedia menghadapi mati.. membayangkan diri ini hamba yang hina, takutkan api neraka namun tidak pula layak ke syurga..

“Astaghfirullahalazim, sungguh aku takut azab neraka-Mu Ya Allah. Aku hamba-Mu yang hina, aku tidak layak mendapat syurga-Mu namun aku takut azab neraka-Mu. Ampunkanlah dosaku Ya Allah, terima lah taubat ku Ya Rahim.. Aku hamba-Mu yang berdosa. Ampunkanlah dosaku Ya Allah..Astagfirullahalazim”


Jika sebelum ini, saya pernah mendengar khabar angin, kononnya ESQ adalah ajaran sesat. Namun, setelah melaluinya sendiri, saya berani mengatakan, ia hanyalah tuduhan yang tidak berasas! Dusta sama sekali.

Melalui training ini, tiada benda/perkara baru di ajarkan, semuanya sudah biasa kita dengar dan kita amalkan, Cuma amalan dan keyakinan itu diingatkan dan disegarkan kembali dalam suasana yang lebih meyakinkan dan menginsafkan, lebih menyentuh hati. Training ini berkisar kepada 1-ihsan, bagaimana mentauhidkan Allah swt. 6-Rukun Iman dan 5-Rukun Islam. Segalanya tidak lari dan hanya merujuk kepada Al-Quran kitab Allah. Mengajar kita agar lebih cintakan Allah, Muhammad dan Al-Quran. Percaya sepenuh hati kepada malaikat, utusan Allah, hari kiamat dan ketentuan qada’ dan qadar.

Namun begitu, percaya dan yakin semata-mata tidak mampu membentuk spiritual yang berjaya, kita juga harus mengamalkan perintah Allah dengan seluruh anggota tubuh badan kita. Kita wajib laksanakan 5-Rukun Islam, mengucap kalimah syahadat dengan penuh keyakinan , solat 5 waktu sehari semalam, puasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan. Islam is the way of life, semuanya telah sempurna. Subhanallah. Allahuakbar!

Terasa sesungguhnya diri ini benar-benar bertuah kerana di lahirkan dalam Islam, mengenal Islam, mengenal kitab Allah, menjadi ummat Muhammad saw.. Semoga diri ini terus dibimbing dan dipimpin oleh-Nya, ditunjuki jalan yang lurus dan di masukkan ke syurga bersama golongan yang dikasihi Allah. Saya juga bersyukur kerana diizinkan Allah untuk mengikuti training ini di mana dapat menimbulkan keinsafan dalam diri ini. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa yang silam dan semoga syurga sentiasa menjadi cita-cita saya.

Kepada sahabat sekalian, jika ada kesempatan dan peluang, lapangkanlah diri anda untuk mengikuti latihan ESQ ini. Jika sebelum ini saya tercari-cari di mana destinasi saya, namun kini, setelah mengikuti training ESQ, saya tahu dengan jelas matlamat saya yang sebenar-benarnya. Apa yang perlu saya focus kini adalah bagaimana saya perlu memandu hidup ini agar dapat mencapai tujuan yang satu itu. Selawat dan salam ke atas nabi junjungan saw..

"Ambil yang baik, buang yang buruk, ciptakan yang baru yang jauh lebih baik!"

Wassalam.

Aku Beriman Kepada Al-Quran

Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata:


"Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).

[Surah Al-Maidah: Ayat 83]

Saturday, August 1, 2009

Detik Ajal.

Bismillahirrahmanirrahim...Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani..

Sahabat... kita semua tahu bahawa kita semua pasti mati. Kita semua tahu dan yakin bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. Kita percaya, bila tiba masanya, kita pasti mati. Kita percaya, ajal dan maut, semuanya sudah tertulis, sudah tercatat. Kita yakin dan percaya, bila ajal tiba, tidak mungkin walau sesaat pun ia dipercepatkan atau diperlambatkan. Malaikat maut menziarahi kita sentiasa.. setiap waktu.. Malaikat maut bahkan mengecam wajah kita dan tak mungkin tersilap mencabut nyawa kita.. bila tiba masanya. Izrail akan datang menjemput, roh kita akan di angkat, pergi meninggalkan jasad..

Sejak roh ditiupkan ke dalam jasad.. Setelah kita keluar dari rahim bonda, roh ini bersatu dengan jasad, begitu erat sekali.. Tidak pernah walau sedetik bahkan sekelipan mata sekalipun keduanya itu terpisah.. Jasad tak mungkin hidup tanpa roh. Roh pula tidak mungkin akan wujud tanpa jasad. Keduanya saling memerlukan..

Bayangkan, suatu hari nanti.. bila tiba waktu itu..ketika roh di angkat ke langit.. di cabut dari jasad.. Allahuakbar.. Astagfirullahalazim.. Ampunkanlah segala dosaku Ya Allah, ampunkanlah dosa kedua ibubapaku, saudaraku, muslimin dan muslimat.. Astagfirullahalazim.. Ya Allah Ya Tuhanku, aku hamba-Mu yang hina, aku hamba-Mu yang berdosa Ya Allah, terlalu banyak dosaku pada-Mu ya Allah... Ampunkanlah segala dosa-dosaku ya Allah...

Cuba renungkan sejenak.. Pejamkan mata, insafi diri.. bukakanlah mata hati..Agar kita dapat merasai getar dari dalam jiwa kita.. Adakah kita mencintai Allah? Adakah kita mencintai Rasul?
Layakkah kita mendapat syurga? Layakkah kita mengaku sebagai umat kekasih Allah? Astagfirullahalazim..

Bayangkan.. kita kini terbaring kaku. Jantung berhenti berdegup. Nafas turut terhenti. Sanak -saudara menangisi pemergian kita.. Air mata tumpah bagai hujan yang turun begitu lebat.. Astagfirullahalazim... Mungkin di kiri jasad itu ibu tua yang melahirkan kita, meratapi pemergian kita. Di kanan jasad pula mungkin sahabat-sahabat kita berteriakan menangis pilu. Hiba. Sedih. Syahdu..

Mereka semuanya menangisi pemergian kita, barangkali mereka terlalu kasih dan cinta pada kita.. Namun adakah mereka merasai betapa apa yang sedang kita rasai? Apakah tangisan kita juga seperti mereka, atau lebih hebat dari itu? Astagfirullahalazim..

Perlahan-lahan kita meninggalkan jasad kita yang selama ini kita cintai sepenuh hati kita.. Kita lihat jasad kita terbaring, tidak lagi bernafas, tidak lagi bernyawa, di situ, jasad kita kaku tanpa kita.. kita sudah pun di pisahkan dari jasad..

Kita menangis merayu ingin kembali.. kita menangis merayu kerana rindukan jasad kita.. kita menangis merayu kerana ada dosa yang masih belum terampun.. kita menangis merayu minta di kembalikan kerana ada hutang yang belum di bayar.. kita menangis merayu minta di kembalikan kerana bekalan kita di akhirat sana belum mencukupi..

Kita pilu melihat jasad kita terbaring, di mandikan, di kafankan, di solatkan lalu kita di hantar ke tanah perkuburan yang sunyi. Kita kemudiannya di masukkan ke liang lahad.. Ditimbus dengan tanah... Ruang itu terlalu sempit menghimpit tapi kita tidak mampu berbuat apa-apa..

Kita benar-benar ingin kembali bersatu dengan jasad kita namun ketahuilah.. setelah ajal itu tiba, setelah roh terpisah dengan jasad..kita tidak akan mungkin dapat kembali bersatu dengan jasad itu lagi.. Semuanya hanyalah pinjaman.. Maha Suci Allah....

Setelah nyawa dicabut oleh Izrail.. terputus segala apa yang kita usahakan di dunia..kecuali tiga perkara, amal jariah, ilmu bemanfaat dan anak yang soleh. Apa kita punyai semua itu? Adakah kita mempunyai bekalan yang mencukupi untuk mengadap Ilahi? Adakah kita benar-benar menyintai Rasullullah, adakah kita mengamalkan sunnahnya, ajarannya? Apakah kita layak mendapat syafaatnya? Layakkah kita mengaku sebagai ummat baginda kekasih Allah? Astagfirullahalazim..

Kita semua tahu mati itu pasti. Kita semua tahu dan yakin ajal dan maut itu sudah tertulis buat kita namun kita sering lupa, setiap detik waktu yang berjalan, setiap hari yang berlalu, setiap minggu dan bulan merentas.. kian ia berlalu, kian mati itu menghampiri.. waktu untuk kita mengumpul bekalan kian singkat.. tempoh untuk kita berbuat amal kian pendek.. dan ajal kian menghampiri.. semakin dekat.. makin dekat..

Wallahua'alam.