+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, May 8, 2009

Perasaan Pada Hati atau Jantung?

Bismillah..

Entri kali ini sekadar meluahkan ketidakpuasan jantung saya terhadap orang yang pertama sekali mentafsirkan soal perasaan adalah berkaitan dengan hati. Soal hati. Pertama sekali saya nak persoalkan, mana asalanya bentuk 'love'? Adakah ia dari bentuk hati atau jantung? Cuba nilaikan. Yang mana lebih seiras dengan bentuk 'love'?

Hati = Liver


Jantung = Heart

Haih...Rupanya selama ini saya tertipu..Tergamak sungguh orang yang berjaya memperdayakan kami selama beberapa generasi nih..dan sampai bila harus berlarutan? Dah terang2 heart adalah jantung, takkan pakar bahasa tak tahu? Dan takkan lah pakar bahasa juga setuju dengan definasi heart adalah hati? Adus..sukar diterima akal. Kepada sesiapa yang ada jawapan, sila tampil dengan hujah anda.

Jika benar selama ini kita tersilap tafsir, jadi sepatutnya kita harus perbetulkan:

Sukahati = Suka jantung = Gembira
Gelihati = Geli jantung = Kelakar
Sakit hati = Sakit jantung = Geram/ marah
Panas Hati = Panas jantung = Geram/marah
Puas hati =Puas jantung = Puas
Hati terluka = Jantung terluka = kecewa/frust
Patah hati = Patah jantung = Frust
Senang hati = Senang jantung = Happy
Susah hati = Susah jantung = Risau

Dan banyak lagi yang berkaitan dengan hati, betul la kan? takkanlah kalau orang depan kita jatuh masuk tangki najis kita pun nak ikut terjun tangki najis, aite? sampai bila? Lagi satu, jika tak silap saya, ada hadis (or maybe kata2 hikmah)

"Dalam manusia ada seorang 'raja' yang sangat berkuasa. Jika baik 'raja' itu maka baiklah manusia, tapi jika jahat 'raja' itu, maka jahatlah manusia, dan raja itu adalah HATI."

"Ketika kita melalukan dosa, ibarat terbit satu titik hitam di HATI kita..jika kita sering melakukn dosa, titik-titik hitam itu akan bertambah lalu lama kelamaan, HATI kita akan menjadi hitam."

Jadi, kepada sesiapa yang rasa macam arif untuk berdebat pasal soal hati dan jantung, sila kemukakan hujah anda. Saya mahukan kebenaran yang pasti. Dan saya memohon kerjasama sahabat yang arif dengan bahasa arab, adakah alquran atau hadis, 'meletakkan' perasaan manusia pada hati atau pada jantung. Yang mana lebih tepat?

Terima kasih daun keladi. Ilmu yang baik seharusnya di kongsi semoga ia lebih bermanfaat. Wassalam

Tuesday, May 5, 2009

Bila Usia Meningkat.

Bismillahirrahmanirrahim..

Pertama sekali, chup..simpan sahaja hasrat anda untuk wish penulis "happy birthday" kerana entri ini tiada kena mengena dengan hari ulangtahun kelahirannya. Eheh..besday saya adalah jatuh pada tarikh 1 Julai, jangan lupa yer..=)

Masa terus berjalan, sedar atau tidak, suka atau tidak, usia kita juga kian bertambah dari hari ke hari. Inilah ketentuan yang tertulis untuk kita sebagai makhluk yang dicipta olehNya. Bermula kita dari setitik mani yang bersatu dengan ovum, kemudian terhasillah segumpal darah, di balut tulang dan daging kemudian ditiup roh lalu lahirlah kita menjadi seorang bayi.

Bermula kita meniarap, kemudian kita merangkak, bertatih kemudian kita berlari. Subhanallah, indahnya ciptaan Ilahi. Kita juga di bekalkan pula dengan akal dan naluri, ada perasaan, ada nafsu, ada cita-cita, ada kehendak. Maha suci Allah yang Maha Pencipta.

Ingatlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Hidup sebelum mati. Dalam usia sedang menganjak, meningkat dari tahun ke tahun, persoalan yang sering bermain di minda saya adalah, " selama aku hidup, apa yang telah aku lakukan???" aduh~ kadang-kadang, ada masanya saya menangisi nasib diri, betapa selama ini saya mensia-siakan anugerah jasad dan nyawa yang Allah telah berikan kepada saya. Astagfirullahalazim.

Jika sepuluh tahun yang lepas, saya baru selesai menduduki SPM, alhamdulillah, saya mendapat keputusan semua A. Dan Alhamdulillah, selama saya bergelar pelajar MRSM, saya selalu utamakan solat berjemaah di surau, selalu melakukan solat sunat dan sering membaca quran hinggakan saya berkemampuan menghafal Surah Yassin dan Mathurat pada waktu itu. Pergaulan antara lelaki dan wanita juga terbatas, saya terlindung dari maksiat, alhamdulillah.

Dan jika saya mati waktu itu, saya mungkin mati dalam keadaan yang selamat dari dosa dan noda, saya masih lagi seorang remaja yang baru beberapa tahun akil baligh yang terlindung dari maksiat dan dosa. Saya suci, saya murni, tapi kenapa Allah tidak mengambil nyawa saya waktu itu? (Rahsia Allah, hanya Dia Yang Mengetahui)

Tahun demi tahun, saya meneruskan kehidupan di alam baru pula, alam bergelar pelajar universiti dan sekarang, alam pekerjaan. Astaghfirullah.. Jalan yang terpaksa di lalui rupanya kian lama kian sukar. Onak dan duri menanti di sepanjang perjalanan. Ada masanya saya kuat menempuh halangan dan ada masanya saya tewas. Titik hitam mula berkumpul dalam diri ini, setitik demi titik, hingga lama kelamaan menjadi banyak. Iman pula sentiasa di paras yang berbeza-beza, ada pasang surutnya yang tersendiri, Astagfirullah, saya kian banyak melakukan dosa. Ampunkanlah aku wahai Tuhan..

Apa gunanya aku hidup, andai kehidupan ini semata-mata untuk menambah bebanan dosa? Dan kenapa Tuhan izinkan aku hidup sedangkan timbangan dosa ku kian lama kian berat? Astagfirullahalazim..

Setiap apa yang Allah ciptakan, biarpun sebesar zarah, pasti ada hikmahnya, pasti ada sebabnya. Allah Maha Bijaksana Lagi Maha Mengetahui. Ajal maut semuanya di tangan Dia dan hanya Dia yang tahu, bila tiba masanya Izrail harus datang menjemput. Dia yang Maha Berkuasa.

Pernahkah kita terfikir, kenapa kita masih hidup hari ini?

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar..Bersyukurlah kerana sehingga hari ini, kita masih lagi dipanjangkan umur, tempoh pinjaman jasad dan nyawa ini masih lagi dipanjangkan.

Terfikirkah kita, kita masih hidup hari ini kerana Allah ingin memberi peluang kepada kita untuk menyuci diri menghapuskan dosa semalam? Kita masih hidup agar kita dapat memohon maaf kepada mereka yang pernah kita lukai hatinya, kita masih hidup agar kita dapat melunaskan hutang yang belum terbayar.

Terfikirkah kita, kita masih hidup hari ini kerana masih ada yang memerlukan kita, memimpin tangan mereka, menyapu air mata mereka, meminjamkan bahu dan telinga untuk mereka di kala mereka sedang berduka lara.

Terfikirkah kita, kita masih hidup hari ini kerana masih ada tugas yang belum terlaksana sempurna. Masih banyak yang belum kita lakukan. Amalan dan bekalan untuk di bawa ke akhirat yang kekal abadi masih tidak mencukupi.

Aduh~ rupanya perjuangan kita di alam kehidupan ini masih belum selesai..masih banyak yang harus kita persiapkan..

Bila usia meningkat, ramai yang risau, kecantikan dan keremajaan bakal hilang, lalu sibuklah mereka menyuntik sana sini, makan vitamin itu dan ini. Malangnya ramai yang lupa, bila mati, jasad di timbus tanah, ulat dan cacing datang menggigit, semuanya akan reput, daging dan kulit di makan tanah. Kita kembali menjadi tanah. Apa gunanya cantik?

Bila usia meningkat, ramai yang risau, harta dan kekayaan yang dikumpul masih ditakuk lama, wang simpanan masih tidak mencukupi. Malangnya ramai pula yang lupa untuk mempersiapkan diri dan memperbanyakkan amalan dan mengumpul bekalan untuk di bawa ke sana.

Aduhai..saya bagaimana pula? usia saya juga kian meningkat, esok atau lusa mungkin tiba masa saya di jemput kembali pulang ke alam barzakh..

Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku, tunjukilah aku jalanMu yang lurus, selamatkanlah dan bahagiakanlah aku serta seluruh muslimin dan muslimat, dunia dan akhirat.

Amin..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Monday, May 4, 2009

Bagaimana Ingin Bercinta?


Lumrah manusia, ingin dicintai dan mencintai. Ingin mengasihi dan dikasihi. Ingin dimanjakan dan memanjakan. Ingin dibelai dan membelai. Ingin memberi perhatian dan diberi perhatian. Ingin ditemani tatkala sepi. Ingin dihiburkan tatkala hati dirundung duka. Ingin dipujuk tatkala merajuk. Ingin disokong tatkala lutut terasa lemah. Ingin dipimpin bila kaki terasa penat untuk melangkah.

Manusia ingin rasa dihargai. Ingin rasa dimiliki dan memiliki. Manusia normal, ingin memberi dan menerima. Bersifat ingin tahu dan ingin mencuba sesuatu yang baru, melangkah ke alam baru, alam percintaan.

Seperti siang berpasangan dengan malam, seperti putih berpasangan dengan hitam, begitulah adam dicipta berpasangan dengan hawa, berbeza sama sekali, tapi saling memerlukan agar dapat saling melengkapi antara satu sama lain. Wallahua'alam.

'COUPLE'..suatu perkataan yang membawa seribu satu maksud tersirat di dalamnya. Jika dinilai secara kasar, ia membawa maksud berpasangan. Kenapa banyak yang tersirat? Kerana dengan hanya satu perkataan itu, pelbagai kemungkinan, kesan akibat 'couple', baik atau buruk, bakal menanti dihadapan. Berwaspadalah.

Saya tidak layak untuk mendifinasikan atau mengklasifikan atau menjatuhkan hukum bahawa 'couple adalah haram'. Ini kerana ilmu dan pengetahuan saya tidaklah sedalam ustaz atau ustazah, namun di sini, saya ingin membincangkan, bagaimana ingin bercinta dan kenapa kita harus mengelakkan trend couple.

Perasaan cinta adalah fikrah, kita diciptakan indah dan sempurna, ada naluri dan perasaan. Ada nafsu dan akal. Ada kehendak dan keperluan. Wujud perasaan suka atau cinta bukan bermakna kita seorang yang berdosa. Cinta itu sesuatu yang agung dan suci. Cinta mempunyai kuasa yang tersangat hebat, yang mampu mengubah manusia dalam sekelip mata sahaja. Lebih baik atau sebaliknya. Apa yang penting adalah bagaimana hala tuju cinta dibawa dan bagaimana cinta itu diuruskan?

Ingat, yang haram tetap haram, yang halal tetap halal. Dosa tetap dosa, pahala tetap pahala. Jangan kerana cinta, kita lupa segalanya. Jangan kerana cinta, kita mencampur adukkan dosa dan pahala. Ibarat, solat itu positif, bersentuhan bukan muhrim adalah negatif, positif di campur dengan negatif jawapannya sifar, jadi, di mana tempat kita nanti? Adakah syurga atau neraka? Sama-sama kita renungkan.

Cinta yang paling agung adalah cinta kepada Dia yang satu. Cinta sesama makhluk adalah bersifat tidak kekal dan sementara, semuanya pinjaman dan bisa ditarik balik bila-bila masa sahaja. Semua makhluk pasti akan mati. Kita juga akan mati dan ternyata, cinta juga bersifat 'hidup', perlu dibelai, 'diberi makan', dijaga dengan baik, jika tidak, cinta juga akan pudar dan seterusnya akan mati. Musnah. Hancur binasa.

Cinta kepada yang berhak, itu yang terbaik iaitu cinta kepada suami atau isteri. Ini kerana dia sah dan halal untuk kita, jadi, kita tiada sebarang halangan untuk menjaga dan membajai cinta kita. Kita tiada halangan untuk membelai dan memujuk rayu, semuanya halal malahan mendapat ganjaran pahala dariNya.

Pilih antara dua, cinta yang memberi ganjaran pahala atau cinta yang menambahkan lagi bebanan dosa? Bersentuhan lelaki dan perempuan itu dosa. Merendahkan dan melunakkan suara wanita untuk memujuk lelaki adalah dosa. Bertentangan mata sehingga menerbitkan rasa ghairah juga adalah dosa. Jadi bagaimana?

Teruskan bercinta jika anda dan dia ada matlamat untuk membina rumahtangga dalam masa yang terdekat. Teruskan bercinta andai anda dan dia tahu menjaga soal pahala dan dosa. Teruskan bercinta andai cinta itu mampu mendekatkan lagi kalian kepada Dia yang satu. Teruskan bercinta jika matlamat kalian adalah sama, iaitu syurga yang abadi. Tetapi, jika semua itu atau salah satu darinya, tiada dalam kamus percintaan kalian, maka, jalan yang terbaik adalah menutup kisah cinta itu, tetapkan hati, suburkan dan bajailah cinta kepada Dia yang satu.

Allah yang Maha Pencipta. Dia menciptakan kita dan juga mengilhamkan perasaan kasih, sayang dan cinta ini. Dia yang Maha Mengasihi. Jika kita tidak mampu mencintai Dia melebihi segalanya, maka, adakah kita layak mencintai makhluk lain? Adakah itu tidak dikira menghina? Lupa diri? Kacang lupakan kulit? Adakah kita bersifat adil? Layakkah kita mencintai makhluk lain melebihi Pencipta kita? Merindui makhluk lain lebih daripada Dia? Tak malukah kita?


Cintailah Allah, cintailah Rasul, cintailah kedua ibu bapa kita. Cintailah diri sendiri sebelum kita mencintai insan lain. Jika kita yakin, dengan mencintai dan dicintainya, dapat menjamin kebahagiaan kita di dunia juga akhirat, maka bukalah hati untuknya. Bercintalah. Jangan gopoh dalam mengejar cinta. Jangan memandang mudah akan soal cinta kerana ia mampu membunuh. Cinta memiliki kuasa yang sungguh luarbiasa, maka, berhati-hatilah dengan cinta. Jangan kerana bahagia duniawi yang dikejar, kebahagiaan yang hakiki di akhirat terus terabaikan. Sekian.

Wallahua'alam.

Sunday, May 3, 2009

Mencari Jalan Pulang.

Darah di lutut masih lagi mengalir. Panas. Rasa pedih menggigit-gigit. Aku memeluk tubuh kesejukan. Aku cuba berdiri kembali untuk meneruskan langkah namun kesakitan itu memaksa aku agar duduk semula. Aku benar-benar tidak berdaya. Tidak berupaya. Aku kembali duduk memeluk lutut. Menahan seribu satu rasa yang membengkak di dada. Semuanya bersatu menjadi satu lalu mencetuskan butir-butir jernih dari kedua kelopak mataku. Setitik, dua titik, kemudiannya mengalir deras. Aku pasrah, sekadar membiarkan airmata itu meluahkan irama syahdu yang sedang berdendang di jiwa ini. Irama melankoli.

"Anak, kenapa kau menangis?"
Tiba-tiba, ada suara menegur aku. Dihadapan aku berdiri seorang lelaki tua berjubah putih. Dia menyapaaku. Masih berdiri di situ dengan senyuman yang sungguh mendamaikan. Dia berserban putih. Janggutnya tersisir rapi. Matanya redup dan tenang sedang memandang ke arahku. Aku tergamam seketika. Kelu.

Siapakah lelaki tua di hadapan aku? Entah bila dia wujud di hadapanku, aku pun aku tidak sedar. Setahu aku, sudah lama aku menangis sendirian di situ, di bawah sejuk embun pagi, ditemani suara unggas, di terangi cahaya malap sang rembulan yang cuma nampak separuh. Tiada sesiapa pun yang lalu lalang apatah lagi mengambil tahu perihal sakit pedih yang sedang sarat aku tanggungi. Aku sedang menangis Tuhan, aku sedang terluka Tuhan, luka aku berdarah, pedih...

Rintihan itu cuma bergema dalam dadaku. Air mata terus mengalir tanpa suara. Aku ingin menjadi wanita yang kental. Aku ingin menjadi setabah Sumayyah. Aku juga tak ingin menangis, tapi, ah...kenapa kali ini terlalu sukar untuk aku menyeka air mata ku ini. Kenapa kali ini terlalu sukar untuk aku memujuk diri ini agar tidak lagi menangis. Air mata ini mengalir laju, laju sekali. Aku tewas.

"Anak, kenapa kau di sini? Kau sesatkah?" Lelaki tua itu sekali lagi bertanya kepada aku. Aku memaksa diri supaya berhenti menangis. Air mata yang mengalir di pipi aku kesat perlahan-lahan. Aku menganggukkan kepala. Kemudian tunduk memandang bumi.

"Ya Tok...Saya sesat, saya ingin pulang, tapi saya tidak ketemu jalan yang betul. Saya tak tahu saya sedang berada di mana, saya mahu pulang tok.." Akhirnya aku memberanikan diri meluahkan segala yang terpendam di dadaku. Airmata kini mengalir lagi.

Lelaki tua itu sekadar tersenyum memandang ke arah ku. Suasana kembali sepi. Aku cuba meneka maksud, mentafsir di sebalik apa yang tersurat, namun malangnya, aku hampa..

Saturday, May 2, 2009

Aku Manusia Berdosa: Maafkanlah Aku

Aku mungkin manusia berdosa.
Aku mungkin bersalah pada kau, kau atau kau.
Aku mungkin telah menyakiti dia, dia atau dia,
Aku mungkin telah melukai mereka, mereka dan mereka..

Aku cuma manusia biasa.
Aku bukan maksum.
Aku tidak sempurna.
Aku banyak kelemahan.

Kata-kataku mungkin menyakiti.
Tulisanku mungkin mengguris hati.
Tingkahku mungkin melukai.
Maka, aku menyusun sepuluh jari.
Memohon sudilah kiranya kau memaafi.

Kita cuma hamba.
Di sini cuma persinggahan sementara.
Tiada yang kekal.
Tiada yang abadi.
Melainkan Dia yang Satu.

Dari hujung rambut.
Ke hujung kaki ku ini.
Setulus hati.
Aku memohon.
Kemaafan darimu sahabat.

Nukilan sendiri, pertama kali di publish di sini.