+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, April 13, 2009

Sampan Kertas.

Hujan masih lagi turun mencurah-curah. Burung-burung yang selalu terbang sekawan semuanya duduk berteduh di dahanan pohon. Suasana sekolah yang tadinya kecoh kini kian beransur sunyi. Seorang demi seorang murid sekolah mula berlalu pergi pulang ke rumah masing-masing.

Aku masih bersendirian. Leka merenung air yang turun mencurah-curah dari langit. Lebat. Sekali sekala aku menadah tangan lalu membiarkan air hujan terjun ke telapak tanganku. Aku tersenyum melihat titik air melompat-lompat di tapak tanganku. Hebat.

Suasana kian sunyi. Hanya kedengaran suara hujan membasahi bumi. Kadang-kala ada suara katak bersahutan. Comel bunyinya. Aku rasakan di situ aku benar-benar keseorangan, terasing dalam ramai. Aku sudah biasa dipinggirkan, biarlah, hatiku memujuk. Aku ke sekolah demi menimba ilmu, aku mahu jadi orang berjaya, aku mahu bantu ibu dan ayah, aku mesti berjaya, biarlah apa orang nak kata, aku tak peduli...Berulang kali aku memujuk diri.

Hujan masih lebat. Aku mula gelisah, sudah lama aku sendirian di situ, setia menanti kedatangan ayah yang tercinta. Aku sudah arif, jika hujan lebat begini, pasti ayah akan lambat datang untuk menjemput pulang. Aku sudah biasa. Aku tidak kisah.

Pernah satu hari ayah meredah hujan untuk menjemput aku pulang, kerana ayah risaukan aku bersendirian di sekolah. Ayah basah lencun, bibirnya pucat kesejukan. Aku hampir menitiskan airmata melihat pengorbanan ayah. Aku tahu, ayah sayangkan aku..

Sejak itu, Aku melarang ayah berbasikal meredah hujan. Aku tahu ayah selalu sakit, selalu batuk-batuk tambahan lagi bila musim hujan datang. Aku tidak sanggup melihat ayah bertambah sakit kerana aku. Aku juga sayangkan ayah. Aku tidak kisah bersendirian menanti hujan teduh. Aku sudah kalih bersendirian menunggu ayah datang. Aku sudah besar, umur aku sudah 8 tahun. Ayah ibu tak perlu risau. Aku tahu menjaga diri.

Hujan selalunya datang membawa kisah duka. Hujan mencurah bagaikan limpahan airmata. “Ah..bestla kau awan, sedih sikit nangis, sedih sikit nangis..aku lelaki, mana boleh nangis” Aku mengomel sendirian, tanganku sibuk melipat kertas. Kini ada lima buah sampan kertas di hadapanku. Aku tersenyum sendirian, puas.


Aku membawa kelima-lima sampan ciptaan aku itu dekat dengan longkang. Air longkang mengalir deras. Aku tersenyum lagi.

“Ini kapal ayah, paling cantik..ayah jalan dulu..” Aku bersuara lalu melepaskan sampanku yang pertama. Laju..namun tak lama kemudian sampan itu basah lalu tenggelam. Aku muncungkan bibir, tanda kecewa.

Aku kemudiannya melepaskan sampan kertas yang kedua. “Ini kapal ibu, mesti lagi laju sebab ibu rajin..” Aku mengomel lagi lalu melepaskan sampan kertas yang kedua ke dalam longkang.. Sampan itu bergerak laju mengikut arus, aku tersenyum galak lalu mengekor sampan itu penuh semangat. Tiba-tiba tanpa sengaja aku terlanggar seseorang, kami sama-sama jatuh terduduk. "Aduh!!"

“Awak, saya tak sengaja, saya minta maaf!” dengan segera aku meminta maaf setelah melihat Haikal jatuh terduduk di hadapanku. Haikal pelajar baru dalam kelasnya. Anak seorang usahawan terkenal yang sangat kaya raya. Aku tahu kerana aku selalu mendengar kawan-kawan sekelas bercerita mengenai pelajar baru itu. Aku cuma mendengar dari jauh kerana mereka semua tidak mahu berkawan dengan aku.

Aku cepat-cepat bingkas bangun lalu menghulurkan tangan kepada Haikal. Haikal yang jatuh terduduk masih diam dan sekadar memandang ke arahku . Aku seorang budak kampong yang miskin. Bajuku comot bertampal sana sini dan kasutku juga koyak. Haikal kelihatan teragak-agak untuk menyambut tanganku.

Namun aku masih bersungguh-sungguh mahu membantunya bangun. Sedetik dua detik..akhirnya Haikal menyambut tanganku. Aku tersenyum. Haikal masih bisu. Dia sekadar memandang aku tanpa sepatah kata.

Haikal tahu mereka sekelas namun sepanjang seminggu sekelas dengannya, mereka tidak pernah bertegur sapa. Haikal selalu mendengar dan melihat rakan-rakan sekelas mereka mengejek budak lelaki di hadapannya itu. Mereka memanggil budak lelaki comot itu dengan pelbagai gelaran namun dia tidak pernah membalas balik. Budak lelaki itu Cuma diam dan kadang-kadang tersenyum. Di dalam kelas 2 Amanah, tiada seorang pun yang mahu berkawan dengan budak lelaki itu kerana dia orang miskin.

Melihat Haikal masih diam, aku mulai resah. Bimbang takut-takut Haikal marah kepada atau sakit. Sekali lagi aku meminta maaf. Namun Haikal masih membisu. Aku berlari menuju ke arah sampan-sampanku tadi. Aku mengambil sampanku lalu kembali dekat dengan Haikal.

“Awak, saya minta maaf ye, saya hadiahkan sampan ni untuk awak tanda saya betul-betul minta maaf…” Aku benar-benar rasa bersalah lalu menghulurkan sampan kertas kepada Haikal. Aku tersengih mempamerkan gigiku. Haikal kemudian tersenyum lalu mengambil sampan itu.

“Terima kasih. Nama saya Haikal, awak?” Akhirnya Haikal mula bersuara. Aku berasa lega melihat reaksi Haikal lalu turut tersenyum. “ Saya Akbar” sahutku girang. Pertama kali sepanjang aku di sekolah ini, aku berasa gembira sebegini.

Hari itu hari bersejarah buat kami berdua. Hujan menjadi saksi persahabatan yang terbina antara si kaya dan si miskin. Sejak hari itu, aku tidak lagi bersendirian di sekolah, aku kini punyai teman karib yang sentiasa bersama. Hujan lebat juga tidak lagi meresahkan hatiku kerana adanya Haikal yang selalu menemani. Malah aku kini gembira bila hujan turun. Haikal juga gembira sama kerana dengan adanya hujan, kami dapat berlumba sampan kertas. Haikal juga pernah katakan padaku, dia seronok bermain sampan kertas bersama aku. "Best!!" katanya.

Biarpun kegembiraan bermain sampan kertas itu cuma sementara, biarpun kapal kertas tahan tak lama, namun kegembiraan yang tercipta kekal dihati kedua-dua kanak-kanak yang sedang membesar itu.

Persahabatan aku dengan Haikal kian lama kian utuh tanpa mengira perbezaan darjat. Kami belajar bersama dan sering bantu-membantu antara satu sama lain. Kami selalu mendapat markah yang cemerlang. Kadang-kadang kami berkongsi tempat pertama. Seronok rasanya menjadi sahabat baik Haikal.

Pulang dari sekolah pula, Haikal akan meminta pemandunya Pak Mat menghantar kami ke teratak burukku. Tanpa pengetahuan kedua ibu bapanya. Di teratakku, kami sama-sama belajar mengaji. Ibuku sangat peramah dan baik hati. Ibu melayan Haikal dengan baik sekali. Ibu juga sabar mengajar Haikal yang baru kenal alif ba ta...

Kadang-kadang Haikal cemburu melihat kemesraanku dengan ibu. Kami miskin harta tapi kaya dengan kasih sayang. Haikal sering membandingkan dirinya yang selalu diabaikan oleh mama dan papanya. Keduanya selalu sibuk dan selalu membiarkan Haikal sendirian bersama Pak Mat atau Mak Bedah pembantu rumah mereka. Kata Haikal, sejak menjadi kawan karibku, barulah Haikal mulai kenal erti kasih sayang seorang ibu dan ayah. Aku gembira untuknya.

Kami membesar bersama-sama. Hari demi hari, tahun berganti tahun, kami kian meningkat remaja. Namun begitu, persahabatan yang terbina tidak pernah hilang warnanya. Sentiasa mekar dan harum mewangi, tak luntur dek zaman. Tak pudar dek ruang tempat dan waktu.

Kami juga punyai cita-cita yang sama. Pernah satu ketika, kami menulis di atas tanah, " Dr Haikal Daniel dan Dr Dr Muhammad Akbar", Ya, cita-cita kami adalah ingin membuka sebuah klinik bersama-sama. Kami ingin menjadi doktor yang berjaya dan kami ingin memiliki klinik kami sendiri, suatu masa nanti.

Sampan kertas dan curahan hujan menjadi saksi, persahabatan kami suci dan murni. Biarpun sampan itu tidak tahan lama, namun persahabatan kami kekal abadi. Jika Tuhan izinkan.

Friday, April 10, 2009

Siapa Mahu Bahagia?

Cuba tanyakan kepada sesiapa sahaja.."Awak mahu bahagia tak?"

99.9% saya yakin..dalam masa sesaat saja kita dapat jawapannya iaitu "Ya!"

Namun, jika ditanya, apa itu bahagia? bagaimana ingin bahagia? Pasti, mereka yang dikehendaki menjawab akan terdiam seketika, berfikir dan merenung sejenak atau mungkin bertanya semula kepada kita.."haah ek, camane yer nak bahagia?". Sedetik dua detik..mari sama-sama kita renungkan.

Bagaimana Ingin Bahagia.

Takrif bahagia mungkin berbeza mengikut individu itu sendiri. Ada yang rasa bahagia bila hidup dilimpahi wang ringgit dan harta kekayaan, ada yang rasa bahagia bila hidup ditemani insan yang tersayang, ada rasa bahagia bila dapat meluangkan masa melakukan apa yang mereka gemari, ada yang rasa bahagia bila mendapat apa yang mereka inginkan. Ada juga yang merasa bahagia bila dapat membaca quran, ada yang merasa bahagia bila dapat beriktikaf di masjid, paling bahagia dapat menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah.. Ada yang merasa bahagia bila melihat orang yang di kasihi bahagia, ada juga yang merasa bahagia melihat penderitaan dan kesengsaraan insan lain...sesungguhnya, penyebab untuk kita merasa bahagia sebenarnya terlalu banyak, dan tak kurang dari itu, faktor penyebab hilangnya rasa bahagia itu juga lebih banyak jika kita bersikap pesimis dan selalu buruk sangka.

Bersyukur.

Sentiasa bersyukur dengan apa yang kita miliki mampu mencipta rasa bahagia. Banyak manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang mereka miliki. Perasaan ingin lebih lagi dan lagi akhirnya mendorong kita menjadi 'robot' yang di cipta dan di setkan untuk sentiasa mengejar dan berlumba-lumba. Tidak pernah berasa cukup dan lebih malang kiranya terlupa untuk bersyukur. Maka, wasathiahlah dalam kehidupan kita. Bersyukur seadanya dengan apa yang sedang kita miliki. Bukan bermakna kita harus berhenti berusaha untuk menjadi lebih baik, tapi lebih dari itu, memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat sejenak sambil menikmati rasa bahagia dengan hati yang penuh dengan kesyukuran.

Allah berfirman dalam surah Az-Zariat ayat 20-23 yang bermaksud: "Di bumi terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang yang yakin. Dan di dalam diri kamu, apakah kamu tidak melihatnya. Dan di langit rezeki kamu dan apa yang dijanjikan kepada kamu".

Ini semua adalah nikmat yang berkaitan dengan hidup dan mati kita.

Bagaimana pula nikmat yang Allah kurniakan untuk memberi kesenangan kepada kita seperti anggota badan yang sempurna, kenderaan yang baik dan rumah yang selesa?. Tidakkah kita patut bersyukur dengan segala nikmat yang telah dikurniakan itu?

Sekiranya kita bersyukur sudah pasti Allah akan menambahkan nikmat-Nya sebagaimana firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhan kamu memberitahu kepada kamu, sekiranya kita bersyukur Aku akan menambahkan (nikmat-Ku) kepada kamu tetapi sekiranya kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sungguh pedih".

Bersyukur adalah sebagai tanda kita mengakui diri kita hamba Allah yang tunduk kepada kerajaan Allah yang maha kaya yang memiliki segala sesuatu. Jika sebaliknya maka kita adalah seorang hamba yang menderhakai Tuhannya yang telah mengurniakan kepadanya segala kesenangan dan kenikmatan.


Baik Sangka Itu Baik.

Dan buruk sangka itu buruk, sentiasalah berbaik sangka kepada Allah. Yakinlah bahawa Dia Maha Adil lagi Maha Mengetahui, setiap apa yang Dia ciptakan pasti ada hikmah yang tersembunyi. Tiap apa yang berlaku semuanya dengan izin-Nya. Dia yang Maha Berhak. Jika doa kita belum dimakbulkan, Dia mungkin mempunyai rancangan lain yang lebih baik untuk kita. Jika kita di uji, itu tanda Dia mengasihi kita, agar kita sentiasa dekat kepada-Nya. Allah memberi dugaan hanya kepada hamba-Nya yang mampu memikulnya..positif, tiap apa yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Sentiasa optimis. Gagal sekali bukan bererti gagal selamanya. Hari ini kita terjatuh dan menangis. Esok mungkin kita mampu terbang dan ketawa riang. Asalkan kita izinkan diri kita dan jiwa kita untuk mengecapi bahagia, insyaAllah, Allah akan bukakan jalan itu untuk kita. Yakin dan percaya kepada kebolehan diri. Menjaga hubungan baik sesama manusia dan seluruh makhluk ciptaan Allah. Islam itu sempurna dan indah. Asalkan kita percaya dan yakin, insyaAllah Islam dan iman mampu membimbing hati kita menuju jalan bahagia.

Senyum, Positif, Doa, Usaha.

Husnuzon selalu dan berfikiran positif sentiasa. Mind set the limit. Jika kita fikir kita mampu melakukan sesuatu, insyaAllah kita memang mampu melakukannya dan sekiranya kita fikir kita bakal gagal, tak mustahil, gagal jualah yang kita dapat.

Senyumlah bila hati mahu menangis. Senyumlah walau hati diuji dengan bebanan yang sangat berat. Kita tidak bersendirian, Allah sentiasa ada bersama kita. Dia Maha Mendengar, Dia Maha Mengasihi, panjatkan doa dan pohonlah keampuan daripada-Nya. Mengadulah dan gantung harapan hanya kepada Dia.

Yakin dan percaya, setiap apa yang berlaku semuanya sudah tersurat dalam ketentuan qada' dan qadar. Kita merancang, Allah jua merancang dan hanya rancanganNya jualah yang nyata. Allah kasihkan hambaNya. Allah cintakan hambaNya yang benar-benar mencintaiNya. Selangkah kita mendekatiNya, makin dekat Dia mendekati kita.

Doa senjata paling utama kita sebagai muslim. Ingat juga, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa melainkan kita sendiri yang berusaha mengubahnya. Berusahalah selagi mampu dan seterusnya bertawakallah hanya kepada Dia. Dia penentu segalanya. Wallahua'alam.

Senyum dan Ketawa

Jangan serius sepanjang masa. Nabi juga bergurau senda. Asalkan tidak melampaui batas yang telah ditetapkan, ketawalah. Kata omputeh, laugh will make you live longer, laughter is the best medicine. ^_^

15 fakta menarik :

1. Para saintis mendapati senyum dan ketawa nerupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.

2. Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupayamenceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.

3. Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan 'gembira'. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.

4. Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.

5. Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar dengupan
jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.

6. Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang
dewasa. Jesteru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.

7. Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis 'stress' iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan
sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.

8. Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa.
Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon 'endorphins' dan hormon 'neurotransmitters' dan penurunan tahap hormon stress 'cortisol' dan 'adrenaline' .

9. Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).

10. Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti
kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.

11. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland
menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.

12. Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa 'mengurut' organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.

13. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.

14. Selain memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah. Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. Senyum tidak perlu modal, cuma
sekelumit rasa ikhlas yang bisa memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan
sesebuah ikatan.

15. Pujangga menyebut :

" SENYUM ITU KELOPAK.

KETAWA ITU BUNGA YANG SEMPURNA KEMBANGNYA".

* Sumber - majalah MIDI edisi Mei 2006

Menyanyi vs Zikir.

Ada masanya juga saya meluangkan masa menonton rancagan tv kegemaran saya. Bila tiba part yang kelakar, saya ketawa, biarpun saya menonton sendirian. Saya kadang-kadang menyanyi lagu twinkle-twinkle, are u sleeping, kereta kecil warna merah, lagu pengakap..Memang lagu yang entah apa-apa. Tapi itu bagi saya salah satu terapi untuk mengubat hati.

Namun begitu, memandangkan kita orang Islam yang memiliki kitab yang paling suci, Al-Quran, kita juga di ajar zikir, tahmid, tasbih dan doa-doa tertentu, maka adalah jauh lebih baik jika kita mengubat hati kita dengan membaca al-Quran, mengamalkan doa-doa dan berzikir kepada Allah. Pakej lengkap sekali dengan ganjaran pahala, insyaAllah..

Lihat contoh ibu-ibu yang dodoikan anak. Cuba bandingkan, sorang ibu menidurkan anaknya dengan lagu pok amai-amai dengan menyebut kalimah Lailahaillallah..Kedua-duanya menghasilkan bunyi dan ada 'irama'. Tapi hakikatnya, kalimah Lailahaillalah itu ternyata berlipat ganda malah jauh lebih baik jika hendak di bandingkan dengan lagu-lagu Siti Nurhaliza sekali pun.

Jadi pilih, kita mahu yang mana? bahagia di dunia atau bahagia di dunia dan akhirat? Jawapan di tangan kita.

Bahagia Kepada yang Memberi.

Kadang-kadang, kita memiliki apa yang tidak dimiliki oleh insan lain. Ingat, ini bukan tiket untuk kita berasa angkuh dan takbur. Ini juga sebenarnya ujian yang agak berat buat kita. Kerana ramai juga yang alpa bila diuji dengan kesenangan. Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Ingat, setiap apa yang kita miliki, semuanya adalah pinjaman daripadaNya. Dia yang memberi dan dia juga berhak menariknya semula. Kadang-kadang, bila kita memiliki sesuatu yang paling kita suka, perasaan takut kehilangan kian memuncak dan mampu memakan diri kita.

Jadi, salah satu cara untuk kita menyuci diri kita dari sifat tamak, takbur, riak dan lupa diri adalah dengan membelanjakan sebahagian dari apa yang kita miliki ke jalan Allah. Bersedekah dan keluarkan zakat. Infak di jalan Allah adalah sangat di tuntut. Jika kita memiliki kebahagiaan, maka jangan kedekut untuk berkongsi kebahagiaan itu bersama insan lain. Kita senyum.. mereka pun senyum, dan mudah-mudahan mereka membalasnya dengan menghadiahkan gugusan doa kepada kita, subhanallah...

InsyaAllah, dan yakinlah..ganjaran pahala dari Allah adalah jauh lebih baik dari harta dan wang ringgit.

Penutup.

Rupa-rupanya, ada banyak cara untuk kita mengecapi bahagia..itu baru sebahagian, dan sebenarnya masih banyak lagi rahsia dan petua untuk kita mengecapi bahagia. Jangan biarkan kesedihan menyelubungi hidup kita. Kita berhak ketawa dan berbahagia. Kita memang punyai banyak sebab untuk berasa gembira dan bahagia.

Semoga perasaan bahagia sentiasa ada di hati kita dan seterusnya dapat mempengaruhi insan-insan yang kita sayangi agar turut sama mengecapi bahagia, bukan sahaja di dunia, malah bahagia juga di akhirat, dengan izin Allah, sekian, wassalam..

Thursday, April 9, 2009

Siapa Lebih Hebat?

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah, kesihatan tidak berapa memuaskan kebelakangan ini, maka kuranglah saya berblogging kerana agak ketandusan idea. Batuk, sakit tekak, demam dan selsema..seolah-olah sudah sebati dengan hidup saya nie, makin tua, makin kerap pula berdamping..peringatan buat diri ini agar tidak lupa bahawa segala apa yang saya miliki di dunia ini, semuanya adalah pinjaman, sihat sebelum sakit.. hidup sebelum mati..dan mudah-mudahan, demam ini adalah ujian tanda Dia sayangkan saya..mudah-mudahan sakit yang sedikit ini dapat mengurangkan bebanan dosa yang pernah saya galas. InsyaAllah. ameen.

Tiada Daya dan Upaya Melainkan Dia

Teman sekerja saya, sudah masuk dua minggu tidak dapat datang bekerja. Sebelum ini juga beliau sering mengambil cuti kecemasan, kerana katanya sakit, dan pulang ke kampung untuk berubat. Puas kami menasihati supaya dia bertemu doktor, tapi dia selalu menolak dengan alasan, sakitnya adalah kerana "buatan orang." Naauzubillah.

"Dari Jabir, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, maka apabila ubat serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah Azzawajala".(Riwayat Al-Imam Muslim).

Seminggu yang lepas, setelah seminggu di kampung, kononnya sudah elok. Hari Selasa yang lepas beliau kembali ke ofis, sebaik tiba di ofis tiba-tiba menangis teresak-esak. Sakit. Bila di tanya, tak mahu bercakap sepatah apa, sekadar menyuruh kami menelefon ibunya untuk bertanya lanjut. Melihat keadaan beliau yang begitu, akhirnya rakan sekerja menghantar beliau ke rumah sewanya.

Tengah hari itu, saya bersama rakan sekerja ingin melawat beliau di rumah sewanya. Memandangkan beliau sendirian di Shah Alam, saya menawarkan diri untuk membawanya ke hospital. Dia menolak dengan gelengan kepala. Saya berkeras ingin menghantarnya ke hospital, dia menangis. Tetap mahu pulang kerana katanya serabut tinggal di sini. Saya menawarkan dia menetap di rumah saya untuk sementara waktu memandangkan dari gayanya "ada sesuatu yang tak kena" di rumah sewanya. Juga dia menolak dengan gelengan kepala. Tetap mahu pulang. Bercakap dengannya lebih elok dari bercakap dengan tunggul, setidaknya tidak menyakitkan hati. Dah sememangnya tunggul tak boleh bercakap. Kawan saya juga hampir serupa, diam, gelengkan kepala, pejam mata, menangis.

Jalan terakhir saya cuba ingin membantu, saya tawarkan diri untuk menghantarnya ke stesen bas, setidak-tidaknya itu yang mampu saya lakukan untuk kurangkan bebanan dia, tapi malangnya, dia tetap berkeras menolak. Aduh, hilang sabar saya jadinya. Geram melihat manusia sebegitu. Langsung tidak mengizinkan dirinya dibantu. Aduyai....

Dan jika anda sebagai sahabat, jika kawan anda sakit, adakah anda boleh berpeluk tubuh membiarkan dan sekadar tengok dia mati? Aduh, pertama kali saya bertemu dengan orang sebegini.

Perbuatan Sihir.

Allah yang Maha Berkuasa. Dia yang Maha Mencipta. Dia yang menyembuhkan. Pada zaman yang serba canggih, agak janggal bila bercakap mengenai 'penyakit buatan orang'. Bukan berniat menolak seratus peratus kewujudan 'penyakit buatan orang', tapi percaya seratus peratus sakit itu adalah akibat buatan orang juga sebenarnya salah.

Jika merujuk kepada kes sahabat saya, sebenarnya sudah lama dia mengadu 'di buat orang'. Sudah sering juga dia berubat berjumpa bomoh di kampung. Dan jika benar dia di buat orang, kenapa setelah berkali-kali bertemu bomoh, masih juga tidak mahu baik? Persoalan..

Percaya kepada 'penyakit ganjil' mungkin tak salah. Memang kerja syaitan menghasut dan menyesatkan umat manusia. Salah satu cara adalah dengan memberi janji palsu lagi menyesatkan yakni melalui bomoh dan tukang sihir. Perbuatan sihir dan santau walaupun jelas di larang dalam Islam masih tetap di amalkan oleh sesetengah golongan yang tidak takut ganjaran neraka.

Di antara dalil-dalil sebagai sandaran menegaskan tentang larangan sihir itu, firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Thaahaa ayat 69 tafsirnya :

"Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala benda-benda sihir yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir, sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan di mana sahaja ia berada".

Dan jika benar terkena buatan orang atau sihir, dalam Islam telah menetapkan batasan syarak tentang bagaimana ingin mengubatinya. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Israa' ayat 82 tafsirnya :

"Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya. Dan sebaliknya Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim disebabkan keingkaran mereka melainkan kerugian jua".

Usaha Sebelum Tawakal.

Selain itu, sebelum berusaha, kita adalah sama sekali di larang berserah atau pasrah. Memandangkan teknologi perubatan juga canggih, maka adalah tidak salah kiranya kita bertemu doktor dan memeriksa tahap kesihatan diri, bukan seratus peratus terlalu bergantung kepada bomoh untuk mengubati penyakit.

Kadang-kadang, ada penyakit yang datang kerana kita yang menginginkannya. Tidak menjaga tabiat makan dan mengamalkan cara hidup yang tidak sihat serta berfikiran negatif dan suka berfikir bukan-bukan memang mampu mengundang sakit. Ini kerana, fizikal dan mental kita yang lemah, mampu mendedahkan diri kita sendiri untuk mendapat penyakit samada penyakit jasmani atau penyakit rohani.

Ada masanya, kita kena kuat melawan penyakit. Jika pun sakit, jangan terlalu manjakan diri dengan sekadar terbaring dan tidak mahu makan. Lagi teruk jadinya. Seperti yang saya selalu amalkan, jika sakit seboleh yang mungkin saya 'menidakkan' rasa sakit itu. Cuba sibukkan diri dengan perkara-perkara yang termampu saya lakukan. Dan syukur juga kerana saya kategori manusia yang sentiasa berselera terhadap makanan. Setidak-tidaknya saya kekal mempunyai tenaga.

Kalau sakit, harus bertemu doktor, jangan sekali-kali membuat kesimpulan dengan cepat.." ni mesti buatan orang!". Selagi kita membiarkan pemikiran yang sempit seperti itu, selagi itu kita 'berjaya' mengekalkan diri kita kekal sakit. Harus sentiasa berfikiran positif dan dekatkan diri dengan Allah, amalkan doa-doa menolak sihir dan doa penenang hati. Kadang-kadang, bukan orang yang sihirkan kita, tapi kita yang berfikir bukan-bukan dan membayangkan benda-benda yang tak elok seterusnya mencetuskan rasa sakit itu. Sendiri mencari penyakitlah namanya.

Banyak bergaul dengan orang juga mampu mengurangkan 'kesakitan'. Merujuk kepada kes sahabat saya, kebanyakan dari kami percaya, dia bukan terkena buatan orang, tapi sikapnya yang pesimis dan tidak bergaul dengan orang mengakibatkan tekanan terhadap jiwanya. Wallahua'alam. Bayangkan, sebatang kara di tempat orang mencari rezeki, di tempat kerja tidak banyak bercakap, dengan teman serumah juga tidak rapat, sering bersendirian seolah-olah sengaja membuka ruang untuk berfikir yang bukan-bukan, syaitan mudah membisik, mampu menyebabkan tekanan lalu tercetuslah 'sakit itu'.

Walau apa pun, hanya Allah yang Maha Mengetahui dan sama-sama doakan kesihatan untuk sahabat saya itu. Allah yang Maha Pencipta dan hanya Dia yang Maha Berkuasa. Tiada daya dan kekuatan melainkan Dia. Semoga kita semua sentiasa di lindungi Allah samada dari penyakit rohani atau jasmani, Ameen. Dari-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali.

Wallahua'alam.

Sunday, April 5, 2009

Aspirasi dan Transformasi.

Maaf, memandangkan blog saya masih sakit dan nazak, saya terpaksa manfaatkan ruangan di blog ini untuk meluahkan harapan dan berkongsi secebis pandangan terhadap ekonomi, politik dan isu semasa tanah air kita. Malaysia.

Masih lagi dilanda demam pertukaran Perdana Menteri Malaysia ke-6. Sudah lama saya tidak bercakap dan berhujah mengenai politik, cara pemikiran saya juga menjadi agak sempit dan kekok. Jika dulu saya selalu berdebat dengan seorang sahabat, tegakkan hujah masing-masing. Dan demi untuk 'menang', saya bersungguh-sungguh membaca dan mengkaji, mencari bahan untuk berdebat. Sedikit sebanyak mengasuh minda saya berfikir, menambahkan pengetahuan dan kesedaran terhadap isu semasa. Di tempat kerja juga tidak kurang hebatnya, kami masing-masing berkongsi pandangan dan pengetahuan, terasa juga berkembang minda. Hebat.

Masa terus berjalan, si sahabat sibuk dengan kehidupannya, kian menjauh, kian menyepi. Tiada lagi isu yang ingin diperdebatkan. Sedih. Teman sekerja juga berganti datang dan pergi, tiada lagi yang benar-benar bersemangat bila bercerita mengenai politik dan isu semasa. Ditambah pula dengan 'peristiwa aneh' di Perak, hampir kesemuanya seolah-olah sudah patah semangat. Tahniah kepada 'mereka' yang telah berjaya menghancurkan semangat kami, 'terima kasih'.

Tidak cukup dengan itu,saya juga sering dikecewakan, asal saja saya mula bercakap mengenai politik, masing-masing memberi respon, membuat muka 'blur'..

"Entahlah, dah bosan cakap pasal politik, tak ke mana, macam tu jugak..no point.." perkataan itu terbit dari bibir mereka, bukan sekali dua, malah acap kali, hingga akhirnya berjaya memadamkan keghairahan saya terhadap politik dan isu semasa.

Kenapa?

Mungkin juga saya turut terbius dan terdorong perasaan hampa itu. Hopeless..Ah...

Saya bukan manusia yang suka mengikut membuta tuli. Saya bukan manusia yang obses dan terlalu yakin dengan apa yang saya percaya.Saya suka mendengar dan seterusnya menilai. Mana yang salah tetap salah dan mana yang benar tetap benar pada pandangan saya. Semuanya sama rata, tidak kira apa pegangan politik. Mana yang benar akan saya sokong dan mana yang salah, belok kanan atau kiri, pusing utara atau selatan, tetaplah juga salah. Itu prinsip saya.

Namun begitu, berpijak di bumi yang nyata. Apa yang terbentang di hadapan mata itulah kenyataan. Tidak mungkin saya tidak boleh mendengar walau bagaimana ketat sekali pun saya menutup telinga. Tidak mungkin saya tak nampak walau semahu mana saya ingin menutup mata. Realiti tetap realiti. Suka atau tidak, ini yang terpaksa saya terima, buat masa ini.

Kenyataan dan fakta yang semua orang tahu, buat masa ini, Dato Seri Najib telah sah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. Ini hakikat. Ini sahih, bukan khayalan. Bukan rekaan.

Perdana Menteri Malaysia Ke-6

Cuma lima tahun bertahan, Pak Lah akhirnya terpaksa melepaskan jawatannya. DS Najib di angkat menjadi PM yang ke-6. Ramai yang melihat peralihan kuasa ini sebagai tanda yang positif. Aspirasi rakyat, bakal membawa transformasi. Penyokong UMNO khasnya optimis, dengan kehadiran beliau, keyakinan rakyat terhadap UMNO akan kembali pulih. Itu kata 'mereka'. Pemegang nombor keahlian UMNO 00001 dan 00002 juga akhirnya kembali ke dalam UMNO. Wah, sungguh besar impaknya.

Kali ini saya tidak ingin membangkang. Cukup sekadar ingin meluahkan harapan. Sebuah harapan terhadap seorang pemimpin nombor satu negara, buat masa ini.

Sesuai dengan keadaan ekonomi negara dan dunia yang tidak berapa memberangsangkan, harapan saya agar PM dapat menangani masalah ini dengan bijak. Manfaatkan setiap ringgit yang ada untuk membaik pulih dan meminimakan efek negatif akibat kemelesetan ekonomi, jangan pula disia-siakan untuk projek yang tidak bermanfaat yang hasilnya lebih banyak ringgit masuk ke poket individu tertentu. Jangan pula bazirkan semata-mata untuk menang dalam pilihanraya kecil. Pentingkanlah mana yang lebih penting!

Jemaah menteri bakal diumumkan Rabu depan, dengan izin Tuhan. Siapa yang bakal terpilih? Siapa yang kekal dan siapa muka baru? Terserahlah. Cuma harapan saya agar bilangan menteri dapat dikurangkan. Mana tidak, dengan pertambahan bilangan ada kalanya merumitkan. Petindihan tugas sering berlaku. Sesuatu urusan yang sepatutnya boleh selesai dalam masa sehari mengambil masa berbulan-bulan lamanya. Membazir dan membuang tenaga, masa dan wang ringgit.

Harapan saya juga adalah supaya individu yang benar-benar layak sahaja yang mendapat tempat. Dan adalah lebih elok jika mereka yang kalah dalam pemilihan terkeluar dari senarai jemaah menteri. Jika dia gagal mendapat sokongan dan undian, apa gunanya terus menjadi pemimpin? Pasti menimbulkan ketidaksenangan bagi sesetengah pihak dan dia sendiri sepatutnya ada rasa 'segan' kerana mendapat sesuatu yang bukan hak nya.

Ketika zaman permerintahan Pak Lah, antara 'perubahan' yang di bawa adalah memberi jawatan menteri/pemimpin kepada mereka yang tidak mempunyai asas politik yang kuat. Ini akhirnya berjaya menghasilkan impak yang tidak sihat. Bayangkan, Imam Besar turut bertanding dalam pilihanraya. Ustazah menjadi ahli politik yang akhirnya memutar belitkan pengetahuan agama demi melindungi parti yang didokong. Sedih. Ustazah yang kini bergelar ahli politik akhirnya mempermainkan hukum hudud. Aduh..

Islam dan politik sememangnya tidak boleh dipisahkan. Tapi, lebih penting dari itu, menyalahgunakan Islam demi kepentingan politik juga ternyata sekali haram. Jangan kerana awak ingin mempertahankan ideologi parti yang awak dokong, awak menidakkan dan memalsukan mana yang benar. Ini terang-terangan di larang. Awak bukan tidak tahu soal agama! Tapi kenapa masih sanggup bersubahat? Ingat syurga, ingat neraka. Bukan pangkat, bukan wang, bukan parti... Sekadar luahan rasa kecewa.


Kembali kepada harapan saya terhadap PM yang ke-6. Bukan sahaja rakyat Malaysia, malah dunia juga sedang memerhatikan Dato' Seri. Dato' Seri mungkin bersikap acuh dan mengabaikan, tapi masih banyak pihak yang ingin menegakkan kebenaran (atau mungkin menjatuhkan Dato' Seri). Untuk menjadi pemimpin nombor satu negara, sepatutnya Dato' Seri bersihkan dulu nama baik dato seri, bukan dengan mengelak dan menafikan. Buktikan!! Buktikan bahawa Dato' Seri tidak bersalah!

Dato' Seri menjadi PM ketika negara sedang bergolak. Ketika negara di ambang kekalutan. Tugas dan bebanan Dato' Seri juga bukan ringan. Pembangkang yang setia membangkang juga bukan terdiri dari calang-calang manusia. Rakyat yang sedang memperhati juga bukan lagi rakyat yang sama ketika zaman pemerintahan Tun M. Teknologi kian canggih, semuanya mudah tersebar pantas. Cara pemikiran rakyat juga kian berubah. Menyekat kebebasan rakyat bererti menggali kubur untuk UMNO.

Jika Tun M berjaya mempertahankan kedudukan selama 22 tahun dan Pak Lah pula cuma mampu bertahan selama 5 tahun, saya selaku rakyat Malaysia, tidak sabar ingin melihat dan menyaksikan 'transformasi' yang bakal di bawa oleh Dato' Seri.

Semoga Allah menuntun hati mereka yang terpilih, semoga Allah memimpin hati mereka, semoga Allah memberi hidayah kepada insan bergelar pemimpin nombor satu negara Malaysia. Saya doakan yang terbaik, kerana hanya ini yang mampu saya lakukan, buat masa ini.

Sekian, wallahua'alam