+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, February 22, 2014

Kasut Kita Mungkin Sama, Tapi....

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum wbt.. Semoga kita semua sentiasa di bawah naungan kasih limpah rahmat Ilahi. Alhamdulillah, dengan izin-Nya, kita masih lagi bernafas hingga ke saat ini. Walau sesukar mana pun jalan yang terpaksa kita tempuhi, alhamdulillah, Allah masih beri kita kesempatan untuk berusaha perbaiki diri dan mencuba jadi insan yang lebih baik. Allah, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 
 
Ujian dan  dugaan hidup setiap dari kita berbeza-beza. Allah swt berfirman, apakah kamu menyangka bahawa kamu akan dimasukkan ke syurga sedangkan kamu belum diuji? Nah. Redhalah dan terimalah segala apa jua ujian yang menimpa kita kerana sesungguhnya, setiap apa jua yang Allah ciptakan, tiada apa yang dijadikan sia-sia. 

Sentiasalah berbaik sangka dengan Allah swt. Buruk pada pandangan kita mungkin baik pada pandangan Allah swt, kita ini hamba, ada banyak yang kita tidak tahu sedangkan Allah swt Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Ilmu Allah, jika digunakan seluruh lautan sebagai dakwat, dan apabila habis di tambah lagi sebanyak seluruh lautan, masih belum cukup untuk menulisnya. Allah Maha Besar. Kita ini hanyalah hamba yang kerdil.