+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, November 28, 2012

Pasangan Kita Penentu 'Siapa' Anak Kita?

 


Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah Maha Bijaksana, Maha Mengetahui. Allah Maha Pencipta, Maha Agong. Allah Maha Esa, tiada yang layak disembah melainkan Dia. Yang berdiri dengan sendiri. Yang Menghidupkan dan Mematikan. Allah kekal abadi. Yang menguasai hari pembalasan.


Setiap apa yang Dia ciptakan, tiada yang sia-sia. Begitu juga kita dihidupkan dimuka bumi ini juga bukan untuk sia-sia. Kita ada amanah, tugasan, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Sebagaimana Allah swt berfirman, Dia menciptakan manusia untuk beribadah kepada-Nya dan selain itu, Dia juga 'melantik' kita menjadi khalifah di muka bumi ini. Maha Suci Allah.

Siapa kita hari ini, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh siapa ibu bapa kita. 'Warna' kita hari ini, sedikit sebanyak bergantung kepada warna-warna yang dicorakkan oleh ibu-bapa kita sejak kita dilahirkan. Allah yang Maha Pengasih 'menghantar' ibu-bapa kita untuk menjaga dan melindungi serta mendidik kita sejak kita dalam kandungan. Dia tidak mencipta kita lahir daripada ketulan batu besar, Dia juga tidak mencipta kita lahir daripada pokok buluh. Apabila kita dilahirkan, kita tidak keseorangan terkontang-kanting. Dia ciptakan kita lahir dari rahim seorang ibu yang penuh dengan sifat penyayang, yang sangat mengasihi kita.

Bukan pilihan kita dilahirkan sebagai anak siapa. Anak orang kaya atau anak orang miskin. Anak orang tanam padi atau anak doktor. Anak orang jahil atau anak orang berilmu. Anak orang cantik rupawan atau tiada rupa. Anak orang yang berpangkat tinggi atau tiada. Semuanya adalah ketentuan dari Allah swt. Sebagai makhluk ciptaan-Nya, kita seharusnya terima dan redha seadanya. Baik pada pandangan kita mungkin ada keburukan yang tersembunyi dan begitulah sebaliknya. Kita manusia yang lemah, pengetahuan kita amat terhad.

Saya pula dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin. Ini takdir dan ketentuan buat saya dan adik-beradik. Masalah kewangan sering menjadi punca kepada pelbagai masalah. Saya anak seorang petani. Emak ayah sekolah tak habis. Ilmu agama pun tak banyak. Namun saya syukuri segalanya kerana percaya, ia adalah takdir terindah buat saya. Dari kehidupan yang serba susah ini, banyak perkara yang saya pelajari. Alhamdulillah.

Alhamdulillah. Saya sedar dan terima hakikat ini dengan lapang dada. Bukan hak saya memilih siapa emak ayah saya. Namun, saya juga sedar bahawasanya saya berhak memilih 'siapa' yang akan jadi anak saya.

Oleh kerana itu jugalah, saya sangat 'cerewet' dan sangat 'memilih' siapa yang akan jadi ayah kepada bakal anak-anak saya. Saya sangat cerewet dalam memilih pasangan hidup. Bukan kerana 'bajet bagus' tapi saya amat sedar betapa besarnya tanggungjawab yang perlu digalas oleh ibu dan ayah apabila mempunyai anak-anak.

Anak-anak yang dilahirkan ibarat kain putih. Bergantung kepada ibu dan ayah untuk mencorak mereka menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Muslim. Bergantung kepada saya dan suami saya (jika ada, insyaAllah) untuk menentukan jalan hidup yang bakal dilalui oleh anak-anak kami.

Di dalam Al-Quran diceritakan kisah-kisah para Nabi dan orang terdahulu, sesuai untuk dijadikan teladan dan sempadan. Sebagaimana kisah Nabi Nuh dan Nabi Luth, walaupun bergelar isteri kepada orang soleh, manusia terpilih, isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth akhirnya dibinasakan Allah kerana kemungkaran mereka. Anak-anak mereka juga ikut binasa. Begitulah kuatnya pengaruh seorang ibu. 
Sebaliknya pula dengan Asiah, isteri Firaun. Biarpun menjadi isteri seorang manusia yang dimurkai Allah, tempatnya di syurga. Musa yang dibesarkannya dengan izin Allah juga akhirnya menjadi insan terbilang. 



Memang benar, 'kekafiran' orang lain tidak mampu menjejaskan keimanan kita selagimana kita teguh berpegang pada tali Allah. Asiah ke syurga biarpun Firaun ke neraka. Namun, saya ini bukanlah Asiah, keimanan saya belum teruji sebagaimana Asiah diuji. Saya juga tidak tahu sejauhmana teguhnya keimanan saya ini. Dengan itu, saya insyaAllah akan berhati-hati dalam memilih pasangan hidup agar tidak memilih lelaki 'seperti Firaun'.

Pokoknya, dalam memilih pasangan hidup. Fikir panjang terlebih dahulu. Jangan pilih dia kerana kita suka dengan penampilan dirinya yang bergaya. Jangan pilih dia kerana harta kekayaannya semata-mata. Jangan pilih dia kerana manis mulutnya menabur cerita. Pilih dia kerana agamanya, kerana, dialah bakal ayah kepada anak-anak kita.

Kerana besarnya pengaruh ibu, jadi, disamping berusaha untuk 'mencari' pasangan yang terbaik, bakal ayah kepada bakal anak-anak kita, pada masa yang sama, persiapkanlah diri sebaik mungkin untuk menjadi isteri dan ibu yang solehah. Jangan terlalu memikirkan siapa dan bila jodoh kita akan datang, sebaliknya fikirkanlah, sekiranya jodoh kita datang nanti, apakah kita sudah bersedia untuk menyambutnya?
Jangan risau jika usia kian lanjut namun jodoh belum datang. Allah ciptakan kita dengan takdir yang telah tertulis. Dia tahu segala-galanya. Siapa bakal anak kita juga Dia tahu. Dan jikapun telah tertulis dalam takdir kita, kita tiada zuriat juga Dia tahu. Kita ini 'pelakon' di pentas kehidupan. 'Berlakonlah' dengan sebaik yang mungkin supaya kelak nanti, apabila 'lakonan' ini tamat, kita akan dikurniakan anugerah yang sangat indah yakni syurga yang kekal abadi.

Jika bukan di sini, mungkin di syurga nanti dia menanti.







1 comment:

psykonep said...

perkongsian sangat berharga..
IsyaAllah..