+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, June 13, 2009

Sudikah Awak Menjadi Madu Saya?

Suatu petang yang tidak mendamaikan. Kenderaan pelbagai jenis dan warna berarak perlahan di atas jalan raya. Semuanya seolah-olah berlumba-lumba mahu segera tiba ke destinasi tapi dihalang dek kesesakan lalulintas. Setiap dari mereka pasti ada destinasi yang ingin dituju, Aisyikin juga begitu. Di dalam perut kereta berwarna merah, Aisyikin memandu sendirian. Dia mencuba sedaya upayanya agar dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pemanduannya supaya dapat mengelak sebarang kecelakaan.

Sungguh malang tidak berbau, ajal datang juga tak siapa yang tahu, namun apa yang penting, dia harus berusaha untuk mengelak sebarang perkara yang tidak diingini daripada terjadi. Destinasinya masih jauh, dia harus tabahkan hatinya, perbanyakkan bersabar. Tak henti-henti hatinya mengingati Tuhan Sang Pencipta.

Pemandangan agak kabur kerana persekitaran diselubungi jerebu. Kereta masih bergerak perlahan, sekejap-sekejap Aisyikin menekan pedal brek. Kereta masih banyak dan sesak . Pemandangan sebegini adalah fenomena biasa setiap hari waktu bekerja. Waktu kemuncak kebanyakan rakyat Malaysia pulang dari tempat kerja dan Aisyikin juga tidak terkecuali. Selang beberapa minit, Aisyikin memicit dahinya, bau tiger balm masih lagi menusuk hidungnya namun sakit kepalanya tetap juga tidak mahu hilang, masih berdenyut-denyut. Di dalam hati dia tidak putus-putus berdoa agar dia selamat tiba ke destinasi. Dengan keadaan yang sesak dan sakit kepala begitu, sebarang risiko mungkin terjadi, dia harus lebih berhati-hati.

Sebaik sahaja tiba di rumah, Aisyikin segera mengatur langkah menuju ke biliknya, kepalanya benar-benar berdenyut, ingin membuka mata pun terasa sangat berat. Kepada ibunya Aisyikin memberitahu keadaannya agar ibunya tidak berkecil hati melihat sikapnya tidak seceria selalu. Aisyikin merebahkan tubuhnya ke katil, cuba melelapkan mata sejenak namun fikirannya benar-benar terganggu. Panggilan telefon dari Puan Monalisa dari pihak baitul muslim benar-benar mengusik fikirannya. Masih terngiang-ngiang kata-kata Puan Monalisa yang membahasakan dirinya sebagai Umi.

"Ada pihak lelaki berkenan dengan Aisyikin, tapi dia dah beristeri. Umi kena minta izin dengan Aisyikin dahulu sebab Umi tahu Aisyikin tidak mahu berpoligami, Umi sekadar mencuba, tengok penerimaan Aisyikin bagaimana. Calon lelaki bekerja di Masjid Negeri dan isterinya bekerja di Jabatan Agama Islam Negeri. Isterinya sendiri bersetuju suaminya berpoligami dan isterinya juga ada telefon Umi." Suara Umi masih terngiang-ngiang.

Aisyikin terdiam tanpa kata. Selama ini dia memang anti-poligami, tak mungkin berpoligami dan tak mungkin berkongsi kasih, dia tekad. Dan kata-kata yang sering dia ucapkan bila di aju soalan tentang poligami, kembali mengetuk benaknya..

"Aku tak mungkin bermadu kecuali, isteri lelaki itu sendiri yang melamar aku..." Itu yang sering dia lafazkan dan kini, kata-kata itu seolah-olah menjeratnya. Poligami dihalalkan dalam Islam, dia bukan siapa-siapa untuk menidakkan hukum Ilahi, terus menidakkan bererti menidakkan hukum Tuhan terhadap poligami, tapi untuk berkongsi kasih bukanlah sesuatu yang mudah baginya. Aisyikin buntu. Puan Monalisa masih lagi memujuk di hujung talian.

"Poligami dihalalkan dalam Islam, Aisyikin boleh cuba kenal-kenal hati budi mereka dulu. Kalau Aisyikin setuju, Umi akan bagi nombor telefon Aisyikin kepada mereka," Puan Monalisa seolah-olah menunjukkan jalan penyelesaian. Aisyikin masih lagi hilang butir bicara, namun hati kecilnya seolah-olah memujuk dirinya supaya bersetuju dengan cadangan itu. "Boleh juga umi, Aisy mahu kenal isteri dia dahulu, umi boleh bagi no fon Aisy..." Akhirnya Aisyikin bersuara. Dalam hati dia sendiri tidak pasti dengan apa yang dia ucapkan. Dan kerana kata-katanya itu jugalah, kepalanya kini sakit berdenyut-denyut.

Sebaik talian diputuskan, Aisyikin termenung sejenak, baru minggu lepas dia menolak dengan mudah risikan dari seorang lelaki yang merisik khabar melalui ibunya, dan ini bukan kali pertama dia menolak. Jenuh ibunya memujuk, lelaki itu bekerja kerajaan, sudah punyai rumah, stabil pekerjaannya, namun Aisyikin menolak mentah-mentah, dengan alasan, lelaki itu tidak sempurna agama dan akhlaknya, ya, dia benar-benar tidak yakin dengan agama lelaki itu dan kepada ibunya juga Aisyikin pernah suarakan..

"Aisyikin mahu mati, Aisyikin perlukan suami yang boleh bimbing Aisyikin bahagia dunia dan akhirat.." Memang itu yang dia impi-impikan. Dan adakah perkhabaran dari Puan Monalisa bakal menunjuk jalan terbaik buatnya? Dari Puan Monalisa, Aisyikin mendapat tahu bahawa pasangan suami isteri itu sering menyertai ceramah agama, dan aktiviti di masjid, hatinya sedikit sebanyak tersentuh. Dia membayangkan suasana itu, suasana bersama mereka yang cintakan Allah. Dia rindukan suasana itu. Kerana alasan itu jugalah, dia akhirnya bersetuju untuk berkenalan dengan Puan Sarimah

Beep!

Henfon Aisyikin berbunyi. Aisyikin memandang tepat ke arah telefon bimbitnya itu lalu mengapai telefon tersebut. Tertera di skrin telefonnya. Satu pesanan ringkas telah di terima. Aisyikin menekan butang hijau lalu membuka pesanan ringkas itu.. Ternyata, ia pesanan ringkas dari Puan Sarimah, dada Aisyikin berdegup kencang...

"Assalamualaikum wbt, saya Puan Sarimah, kenalan daripada Baitulmuslim, boleh kita berbual-bual berkenalan?" Aisyikin membaca baris huruf dan perkataan mesej tersebut. Untuk seketika waktu dia berdiam diri tidak tahu mahu berbuat apa. Beberapa minit kemudian dia mendapat ilham untuk membalas pesanan tersebut.

"Waalaikumsalam.. Umi ada bagitahu saya pasal puan siang tadi.. boleh saja berkenalanan cuma awal-awal saya minta maaf kalau saya kekok, takut pun ada nie.." Aisyikin menyatakan hasrat hati lalu menekan butang send.

Selang beberapa minit, henfon berbunyi Aisyikin berbunyi lagi.

"Cuma nak tanya dulu, nak panggil apa yer? Panggil akak Kak Sa. Mula-mula memang kekok sikit. Nak cakap telefon atau mesej ye?" Puan Sarimah meminta izin untuk menelefon namun Aisyikin masih belum bersedia untuk berbual. Aisyikin kemudian menekan butang reply..

"Panggil Aisy pun tak pe kak, akak, maaf kalau saya tanya, boleh saya tahu kenapa akak sanggup bermadu? Bukankah kebanyakan isteri tidak suka poligami?" Aisyikin menaip penuh teliti kemudian menekan butang send. Aisyikin risau seandainya dia mungkin melukai insan yang baru dikenalinya itu.

Beep.. henfon Aisyikin berbunyi lagi lalu dia menekan butang open..

"Bagi akak bermadu tu tak salah dan hukum menghalalkannya. Malahan dengan bermadu juga akan mendekatkan diri kita dengan Allah. Kita ni nak mesej atau bercakap kat telefon?" Puan Sarimah sekali lagi meminta izin untuk menelefon. Aisyikin diam sejenak, berfikir mahu berkata apa. Beberapa minit kemudian dia menghantar pesanan ringkas menyatakan persetujuanya untuk bercakap melalui telefon. Tidak lama kemudian, telefonnya berdering, bukan lagi khidmat pesanan ringkas, tapi panggilan masuk oleh Puan Sarimah. Jantung Aisyikin berdegup kencang...

4 comments:

UkhwAh said...

istiqarah, minta petunjuk daripada-Nya.
bukan senang untuk berpoligami tapi kalau asyikin rs dia mampu untuk menggalas tanggungjawab itu, semoga ALLah swt permudahkan.

sempurna pada pandangan manusia belum tentu sempurna pada pandangan ALlah swt.
Buruk pada pandangan manusia belum tentu buruk pada pandangan ALlah swt.

Semoga Asyikin diberi petnjuk agar dia peroleh yang terbaik dan selyaknya utk dirinya.

InsyaALlah..

p/s: nice story, nice lesson, nice to remember (^^)

AsNiza said...

:: Atul..

Amin ya rabbal alamin, semoga Asyikin bahagia dunia dan akhirat, insyaAllah..

p/s: pandangan mata selalu menipu, pandangan hati itu yang hakiki.. kalau hati itu bersih..insyaAllah, moga Allah beri petunjuk kepada beliau.. ^_^

kings of leon said...

nice cerpen. semoga aisykin menemui apa yang dikehendakinya.

kalo aisyikin dah lanjut usia-nk mendung dh, why not bermadu-ciri2 yang aisyikin mahu telah pun menepati sikit sbyk berbanding prospek yg aisyikin tolak sebelum tu.

AsNiza said...

:: King of leons..

Nanti saya cuba gtau Aisyikin supaya menerima lamaran tersebut..

Sebenarnya dia dalam dilema sebab die pernah melakukan istiqarah, walaupun tak mahu terus berharap, tp bayangan yang muncul adalah insan lain..

Wah..makin menarik cerpen ni kalu nak di sambung..keke